malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak benar imigresen syor 'pemburu upahan' tangkap PATI
Diterbitkan:  Oct 14, 2016 11:44 AM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali menafikan laporan Berita Harian bahawa beliau mengesyorkan orang ramai yang membantu menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) diberikan ganjaran kewangan.

Mustafar melalui kenyataan medianya berkata, cadangan sedemikian hanya akan menjejaskan keselamatan orang awam sehingga boleh bertindak di luar kawalan.

“Cadangan atau syor sedemikian boleh menjejaskan keselamatan orang awam dan kemungkinan mereka akan bertindak di luar batasan undang-undang serta menyebabkan implikasi negatif dalam masyarakat.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut menafikan kenyataan berkaitan cadangan membenarkan majikan yang memerlukan pekerja asing untuk terus datang memilih di tempat tahanan,”katanya.

Penafian itu dibuat di Twitter jatatan itu dengan tulisan ringkas "Tidak benar".

Tulisan "tidak benar" juga ditampal melalui grafik di laporan Berita Harian itu.

Imigresen malah membuat tag kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan pihak Kementerian Dalam Negeri di Twitter mereka.

Berita Harian hari ini memetik Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali sebagai mengesyorkan orang ramai yang membantu menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) diberikan ganjaran kewangan.

Katanya, ia ganjaran kewangan itu diberikan sebagai usaha memerangi majikan serta sindiket yang mendalangi penyeludupan warga asing di negara ini.

Jelasnya, ketika ini apabila penguat kuasa imigresen melakukan operasi termasuk di sempadan, aktiviti penyeludupan dihentikan seketika kerana ada penduduk tempatan yang bersubahat mendedahkan pergerakan itu lapor Berita Harian.

"Sehubungan itu saya mencadangkan tindakan drastik yang mudah dan menjimatkan tetapi berkesan iaitu mewujudkan pasukan sukarelawan seperti bounty hunter (pemburu upahan) yang dipraktikkan di Amerika Syarikat, Mexico dan negara lain.

"Penduduk kampung yang bersedia membantu, menangkap dan menyerahkan pendatang tanpa izin kepada pihak berkuasa, boleh ditempatkan di lokap sementara menanti tindakan imigresen," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Tambahnya, kini sudah tiba masanya iaitu situasi bersubahat dengan sindiket pendatang tanpa izin bagi mendapatkan upah lumayan diubah.

Sebaliknya kata Mustafar sekiranya cadangan ganjaran kewangan itu dilaksanakan, amalan membantu penyeludupan masuk boleh bertukar kepada amalan menangkap pendatang.

"Ganjaran kewangan ini sebenarnya tidak menambah beban kewangan berbanding operasi jabatan yang berhadapan kekangan logistik dan kakitangan, jika dilakukan serentak di seluruh negara.

"Contohnya, majikan sering menafikan pendatang adalah pekerja mereka, tetapi bounty hunter boleh mendapatkan bukti seperti rakaman video untuk membuktikan keadaan itu," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen