malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘K'jaan akan robohkan KLCC jika mahu padam legasi Mahathir’
Diterbitkan:  Oct 13, 2016 2:33 PM
Dikemaskini: 6:39 AM
ADS

Bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pentadbiran sekarang cuba memadamkan legasi beliau dengan usaha membunuh industri kereta nasional Proton yang diilhamkannya.

Beliau yang juga adalah menteri komunikasi dan multimedia berkata jika dakwaan itu benar, banyak legasi lain bekas perdana menteri itu boleh dihapuskan.

“Jika kerajaan mahu menghapuskan legasi beliau, sudah tentu KLCC turut dirobohkan.

“Namun kerajaan hari ini berpaksikan kepada rakyat didahulukan iaitu membangunkan kemudahan yang dapat memanfaatkan rakyat secara keseluruhan dan bukan segelintir golongan sebagaimana berlaku di era pentadbiran beliau,” kata Salleh yang dipetik berkata oleh portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC).

Beliau mengakui bahawa peranan Mahathir dalam Proton tidak dapat dinafikan.

Dalam perkembangan sama, Salleh mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa kerajaan menyediakan suntikan berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat yang bermasalah tersebut pada bulan April.

“Malah, pinjaman mudah itu antara lain bagi membantu syarikat automotif itu membayar vendor,” kata Salleh.

Dalam tulisan di blog semalam, Mahathir menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu Proton bankrap dan menjualnya dengan murah kepada orang asing.

“Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati.,” kata Mahathir.

Selain itu, beliau mendakwa bahawa namanya tidak boleh dikaitkan dengan Proton dan kakitangannya tidak dibenarkan bercakap dengannya manakala peniaga kenalannya tidak dibenar mengadakan business dengan Proton.

Mahathir melepaskan jawatan sebagai pengerusi Proton pada bulan Mac lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen