malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penjawat awam M'sia beruntung, kata Dr Hilmi
Diterbitkan:  Oct 12, 2016 3:49 PM
Dikemaskini: 8:13 AM
ADS

Penjawat awam sangat beruntung kerana kerajaan amat prihatin menjaga kebajikan mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kakitangan perkhidmatan awam dibayar gaji tinggi, pembayaran gaji tepat pada masanya serta pelbagai elaun dan insentif di samping mendapat kenaikan pangkat dan pencen selepas bersara daripada perkhidmatan.

Katanya,penjawat awam seharusnya merasa diri mereka beruntung berbanding mereka yang bekerja dalam sektor swasta yang tidak begitu terjamin masa depan mereka.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia juga menyediakan program post graduate untuk memberi peluang kakitangan yang berminat untuk menyambungkan pelajaran mereka.

Dr Hilmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), hari ini.

Seramai 925 graduan dari empat institusi menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang kursus.
Dr Hilmi turut berpesan kepada semua penjawat awam di bawah Kementerian Kesihatan supaya terus meningkatkan kecemerlangan mereka.

“Kita mahu terus mengekalkan perkhidmatan kesihatan kita yang sudah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” tambah beliau.

Beliau juga mengingatkan anggota penjawat awam di bawah Kementerian Kesihatan supaya mengelak daripada melibatkan diri dengan gejala negatif media sosial.

Menurut Dr Hilmi, kebanyakan bahan yang disebarkan oleh media sosial adalah berita atau maklumat palsu kerana faktanya tidak disahkan berbanding berita yang disiarkan oleh media perdana yang terlebih dahulu mengesahkan faktanya sebelum ia disiarkan.

“Sebagai anggota kerajaan jangan kita menjadi ejen kepada penyebaran fitnah, malah sebagai umat Islam ia adalah satu dosa. Jangan kita melakukan dosa setiap hari, lebih baik anda menumpu kepada kerjaya serta meningkatkan prestasi kerja kita untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau meminta supaya semua penjawat awam sentiasa menjaga profesion dan nama baik kerajaan.
“Jalankan tugas anda dengan baik dan dengan penuh berdedikasi untuk manfaat rakyat,” tambah beliau.

- Bernama

Lihat Komen