malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Raja-raja Melayu tak akan campur tangan, kata Ku Nan
ADS

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengganggap gesaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar supaya Majlis Raja-Raja campur tangan dalam mendesak perdana menteri berundur sebagai 'gila kuasa'.

Menurut menteri wilayah persekutuan itu, pihak yang tidak berpuas hati dengan perdana menteri sepatutnya menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Kerajaan dan pemerintahan sekarang dipilih oleh rakyat. Mahfuz ni belajar dari mana, barangkali dia orang ini gila kuasa. Kalau nak (tukar perdana menteri), tunggulah sampai pilihan raya Umum akan datang.

“(Itupun) kalau kamu boleh menang tapi saya berkeyakinan kamu tak boleh menang. Jadi dia (Mahfuz) akan buat apa-apa cara nak dapat kuasalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah majlis di Putrajaya, hari ini.

Tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan baginda enggan campur tangan mengenai urusan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong telah sebut walaupun bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu (baginda) di Alor Setar, dia takkan campur.

“Saya percaya Majlis Raja-Raja pun tak nak campur. Majlis Raja-raja tahu ikut undang-undang apa yang patut ia laksanakan dan jangan lupa, negara kita negara raja berperlembagaan. Kita ikut perlembagaan yang ada,” katanya.

Semalam, Mahfuz dalam satu kenyataan berkata Majlis Raja-Raja boleh menyatakan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-242 dijangka mendapat perhatian susulan pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang baru. Mesyuarat pramajlis akan berjalan hari ini diikuti mesyuarat rasmi selama tiga hari yang akan berakhir 14 Oktober (Jumaat).

BN pun tak puas hati

Sementara itu Tengku Adnan turut mengulas mengenai persempadanan semula yang akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau yang juga Setiausaha Agung Umno turut menolak dakwaan persempadanan semula hanya akan memberi kelebihan kepada BN.

Sebaliknya katanya, ramai anggota parti itu tidak berpuas hati dan beliau telah menghantar surat kepada pejabat komponen BN bagi mengarahkan mereka memohon bantahan di saluran yang betul.

Antaranya melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), wakil rakyat atau mengumpulkan 100 suara pengundi di satu kawasan bagi diserahkan kepada SPR.

“Yang pentingnya kita tak campur tangan dengan apa yang SPR buat seperti yang dituduh oleh pihak pembangkang.

“Kononnya nak menangkan parti yang memerintah, kononnya BN campur tangan, ini jelas kita tak campur tangan kerana kita sendiri tak berpuas hati di banyak kawasan,” katanya.

Tengku Adnan berkata antara persempadanan semula yang dibantah BN di Wilayah Persekutuan adalah Wangsa Maju, Setia wangsa dan Kepong.

Lihat Komen