malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) amat memandang berat kejadian pegawai kerajaan yang mati akibat disondol kereta tonto.

Semua rakyat Malaysia juga harus membuka mata dan berfikir bagaimana sindiket “sial” boleh bermaharajalela dan menakutkan penguatkuasa kerajaan.

Mereka seolah-olah paling berkuasa di Malaysia bebas berbuat apa saja dengan mengatasi segala undang-undang.

Apa tidaknya, sehingga ke hari ini kes sebuah kereta penguat kuasa diterbalikkan sampai ke hari ini masih tidak dapat diselesaikan dan penyerang masih tidak dibawa ke muka pengadilan.

Satu tanda tanya besar untuk semua kerana sudah tentu ada yang tidak kena. Bolehkah tonto hidup dan bermaharajalela tanpa pelindung mereka.

Siapakah pelindung mereka? Perlakuan jenayah yang dilakukan oleh tonto berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Penguat kuasa diikut ke rumah

Ugutan dan ancaman mereka ke atas penguat kuasa telah terlalu banyak menggagalkan, menakutkan dan menghantui pihak itu daripada tugasan harian mereka.

Mereka memantau pihak berkuasa tempatan, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan apa jua urusan serbuan yang dirancang dengan memberi dan menyampaikan berita kepada pelaku kesalahan untuk menutup kesalahan peniaga atau beredar sebelum diserbu.

Premis judi, maksiat, pengedar barangan haram, barangan seludup, barangan tiruan dan lain-lain pelaku kesalahan mendapat amaran untuk lari atau menutup premis mereka.

Pihak penguat kuasa menjadi takut kerana mereka diancam dan diikut ke rumah.

Adakalanya nyawa mereka juga merasa diancam sebagaimana terjadi kepada rakan-rakan mereka yang telah dicedera atau menerima ajal sebagaimana yang baru berlaku.

“PPIM hari ini menggesa menteri Dalam Negeri dan juga ketua setiausaha negara dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh bagaimana perkara ini boleh berlaku dan siapa yang melindungi penjenayah-penjenayah ini bagi menentukan perkara dan ancaman ini dapat dihapuskan dan menentukan mereka kesemuanya ditangkap dan dihukum” kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan.

“Sampai bila lagi kita harus membiarkan kedaulatan Negara dicemar dan dihina,” tambah beliau lagi. 

Lihat Komen