malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KPKT mahu kerajaan S'gor serah PPR Lembah Subang 1
Diterbitkan:  Oct 10, 2016 6:17 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu kerajaan negeri Selangor menyerahkan semula pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 kepada kementerian itu.

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata mesyuarat antara wakil KPKT dengan kerajaan negeri akan diadakan esok bagi membincangkan isu berkenaan.

"PPR Lembah Subang 1 merupakan hak kerajaan persekutuan. Kita hanya serahkan pengurusan pada kerajaan negeri Selangor. Jadi kita mahu kerajaan negeri Selangor pulangkan secara baik pengurusan PPR Lembah Subang 1 kepada KPKT supaya kita boleh berikan khidmat lebih baik kepada penduduk di PPR itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di PPR Lembah Subang 2, hari ini.

Menurutnya, sepanjang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri, PPR Lembah Subang 1 masih berdepan dengan masalah sampah, penyelenggaraan lif dan kekurangan pelbagai kemudahan lain.

Noh berkata keadaan di PPR Lembah Subang 2 yang berada di bawah pengurusan KPKT jauh lebih sempurna termasuk mempunyai dewan orang ramai.

"Jauh beza dengan keadaan di sini. KPKT menitikberatkan kebersihan dan kemudahan sempurna untuk keselesaan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mekanisme bagi melaksanakan sistem sewa beli bagi rumah PPR masih dibincang dan akan dimuktamadkan hujung tahun ini.

PPR Lembah Subang 2 merupakan antara projek PPR yang akan menawarkan sistem sewa beli kepada penduduk yang layak.

- Bernama

Lihat Komen