malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Susulan penahan tidak sah wakil tunggal Malaysia dan Asia dalam misi kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva “Women's Boat to Gaza” (WBG), Dr Fauziah Mohd Hasan serta 13 aktivis keamanan oleh Israel, sampai masanya tindakan diambil.

Negara-negara Islam perlu menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal melaksanakan segala matlamat utama pertubuhan itu untuk mengekalkan kedamaian antarabangsa, seperti yang termaktub melalui Artikel 1 Piagam PBB 1945.

Cadangan penyingkiran Israel perlu dibuat bukan sahaja berdasarkan perkembangan terbaru ini, tetapi atas penindasan dan kekejamannya semenjak terbentuknya negara itu pada tahun 1948, khususnya terhadap masyarakat Arab Palestin.

Sudah terlalu banyak siri kekejaman dan penindasan yang telah dilakukan oleh Israel.

Hampir 50 resolusi PBB telah dibuat bagi menentang segala kekejaman dan penindasan Israel semenjak penubuhannya lebih setengah abad yang lalu.

Namun segala usaha terbabit ibarat mencurah air ke daun keladi kerana Israel terus dilindungi proksi utamanya iaitu Amerika Syarikat.

Masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Islam perlu bersatu serta senada dalam menyuarakan hasrat dan menggerakkan usaha penyingkiran Israel daripada PBB dengan segera.

Pengajaran jangka panjang

PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang dibentukkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II.

PBB ditubuhkan untuk menggantikan Liga Bangsa-bangsa yang dibubarkan setelah gagal menghalang Perang Dunia II tercetus.

Antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana termaktub dalam piagamnya, untuk mengelakkan berulangnya pertikaian serius, menegaskan hak asasi manusia, menjamin rasa hormat pada undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup dunia.

Artikel 6 Piagam PBB 1945 pula menyatakan dengan jelas:

"Anggota PBB yang telah berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor Majlis Keselamatan".

Walaupun perkara ini secara realitinya sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan anggota Majlis Keselamatan, yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat, namun ia sekurang-kurangnya dapat memberi peringatan keras kepada Israel bahawa tindakan mereka amat tidak disenangi.

Usaha penyingkiran juga dapat menyatupadukan kebanyakan negara dunia, terutamanya negara-negara Islam bagi menentang segala penindasan dan kekejaman Israel.

Usaha penyingkiran terbabit juga dapat memberi pengajaran jangka panjang terhadap semua negara dunia supaya mereka mematuhi segala segala prinsip kedamaian yang diperjuangkan oleh PBB.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Lihat Komen