malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak perlu pihak lain ingatkan PAS saman SR - Takiyuddin
ADS

Tidak ada keperluan bagi sebarang pihak untuk mengingatkan PAS untuk memfailkan saman terhadap portal pendedah maklumat, Sarawak Report berhubung laporan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata saman terhadap portal itu tetap diteruskan dan sedang diuruskan oleh peguam parti berkenaan.

“Kita sedang ambil tindakan, ia dalam proses. Sebulan nak mula tindakan, ia memang memerlukan masa. Dalam masa sebulan kita nak ambil peguam.

“Kenapa (ada pihak) perlu ingatkan kita, tindakan kita, kita perlu ambil sendiri tak perlu mana-mana pihak mengingatkan kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini, sebuah portal yang mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa PAS masih belum menyaman Sarawak Report berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Mykmu.net mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta presiden pro-tem parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendekati PAS dan turut menggesanya supaya mengingatkan PAS mengenai janjinya untuk menyaman Sarawak Report.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata mana-mana pihak termasuk Tun Mahathir tidak perlu mengingatkan PAS kerana ia tidak ada kena mengena dengan pihak lain.

“Tak perlu mana-mana pihak bimbang kerana kes ini ada batasan enam tahun untuk kita failkan.

“Kenapa pula nak ingatkan kita, ini antara kita dan Sarawak Report,” katanya.

Terdahulu PAS dilaporkan berang dengan sebuah ulasan yang diterbitkan dalam Sarawak Report yang menyatakan Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Pada 13 Ogos lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Sarawak Report dalam tempoh sebulan, dan saman itu akan difailkan di UK.

Rewcastle-Brown kemudian menjelaskan bahawa laporan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

Lihat Komen