malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman S’wak Report: Kedudukan PAS sama dengan Najib, kata portal
Diterbitkan:  Oct 4, 2016 12:20 PM
Dikemaskini: 4:24 AM
ADS

Sebuah portal yang mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa PAS masih belum menyaman Sarawak Report berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Mykmu.net mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad telah meminta presiden pro-tem parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendekati PAS dan turut menggesanya supaya mengingatkan PAS mengenai janjinya untuk menyaman Sarawak Report.

“Sebab, sejak tuduhan dimulak Ogos lepas, PAS menetap sebulan atau kurang untuk memulakan tindakan saman terhadap Sarawak Report, tapi sudah nak masuk bulan kedua, samannya masih tidak tiba-tiba.

“Kali terakhir, PAS kononnya telah menyampaikan semua dokumen kepada seorang peguam terkenal di London, tapi cerita setakat itu sajalah, samannya tak jugak lagi,” katanya.

Portal penyokong tegar Najib itu juga menyindir bahawa identiti peguam berkenaan juga tidak didedahkan tetapi sekadar “main sebut saja”.

Memandangkan demikian, Mykmu.net berkata “balaci” PAS perlu menjadikan teladan bahawa bukan mudah untuk menyaman orang luar yang membuat tuduhan atau fitnah.

Memetik persekitaran undang-undang yang berbeza di luar negara, portal itu berkata Najib juga menghadapi halangan sama dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown.

Sebelum ini, pengkritik perdana menteri berulang-kali mencabarnya untuk mengheret Sarawak Report dan Wall Street Journal ke mahkamah berhubung laporan mereka mengenai 1MDB dan perkara lain yang berkaitan.

Menurut mereka, Najib tidak pernah teragak-agak untuk memfailkan saman fitnah terhadap lawan politik dan media tempatan.

Pada 13 Ogos lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Sarawak Report dalam tempoh sebulan, dan saman itu akan difailkan di UK.

"Kita telah membuat keputusan akan membawa kes itu ke mahkamah di England kerana kita difahamkan media tersebut berpusat di sana.

"Kita kenal queen counsel yang pernah ada hubungan dengan kita dalam kes sebelum ini.

"Dalam masa terdekat, dalam masa sebulan ini," kata Abdul Hadi pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur

PAS dilaporkan berang dengan sebuah ulasan yang diterbitkan dalam Sarawak Report yang menyatakan Najib berjaya 'menarik' PAS jauh daripada pakatan pembangkang dengan RM90 juta mengalir secara meluas kepada pemimpin atasan parti Islam itu sejak beberapa bulan lalu.

Rewcastle-Brown kemudian menjelaskan bahawa laporan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen