malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kebebasan kehakiman pulih di bawah Najib
ADS

Kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang telah dipulihkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata hak untuk menyuarakan bantahan buat pertama kalinya terakam dalam undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman dan demokrasi Malaysia berkembang maju dalam cara yang belum pernah berlaku di bawah (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Undang-undang yang Dr Mahathir gunakan dengan begitu meluas untuk menahan seteru beliau, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri, telah dimansuhkan oleh Najib," katanya.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau mendapati adalah ironi bagi Dr Mahathir untuk bercakap tentang demokrasi sedangkan bekas perdana menteri itu secara terbuka mengakui bahawa beliau seorang diktator semasa berkuasa.

"Malah lebih ironi lagi apabila sekutu baru Dr Mahathir dalam pembangkang kelihatannya seperti mempelajari tentang demokrasi daripada beliau kerana ketua pembangkang utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, veteran DAP Lim Kit Siang dan (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng, kesemuanya dipenjarakan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri," katanya.

Abdul Rahman juga berkata Dr Mahathir marah dan kecewa disebabkan beliau gagal menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi supaya anak lelakinya boleh menjadi perdana menteri.

"Beliau (Dr Mahathir) berang memandangkan apabila pilihan raya demokrasi diadakan, beliau dan sekutunya seringkali kalah. Sebagai contoh, dua pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, yang Dr Mahathir gambarkan sebagai satu referendum terhadap perdana menteri, menyaksikan rakyat memberi kemenangan besar kepada BN dengan majoriti lebih besar berbanding sebelum ini.

"Rakyat tidak mengendahkan bebelan sedih dan semakin tidak waras oleh orang tua yang marah dan kecewa. Lagi pun, mengapa perlu belajar tentang demokrasi daripada seorang yang mengaku dirinya sebagai diktator?" katanya.

- Bernama

Lihat Komen