malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rakyat berhak dapat gambaran mengenai PERMATA, tegas Yeo
Diterbitkan:  Oct 2, 2016 2:34 PM
Dikemaskini: 6:39 AM
ADS

ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin tetap berkeras untuk melihat akaun program Permata Negara (PERMATA) yang dibiayai kerajaan walaupun diberitahu sebaliknya.

Beliau juga menafikan hanya berminat untuk meneliti akaun PERMATA dan mahu mendapatkan gambaran penuh bagaimana program itu dijalankan.

"Sebagai fakta, pembiayaan yang diterima oleh PERMATA adalah dari wang pembayar cukai, oleh itu PERMATA adalah bertanggungjawab untuk menunjukkan akaun, dan bertanggungjawab kepada rakyat," katanya.

PERMATA diketuai oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung dengan peruntukan RM30.1 juta dalam bajet kerajaan 2015.

Yeo berkata pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor seolah-olah lupa bahawa PERMATA bukan milik mana-mana individu dan ia adalah sebuah agensi kerajaan.

ADS

"Rizal berkata bahawa saya hanya berminat untuk meneliti buku-buku (akaun). Ini tidak benar. Saya ingin mendapatkan gambaran penuh bagaimana PERMATA dijalankan, dan pengurusan kewangan adalah satu bahagian penting dalam menilai prestasi agensi itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rizal memberitahu Yeo supaya melihat keadaan DAP terlebih dahulu sebelum mempersoalkan akaun bagi program pendidikan awal kanak-kanak berkenaan.

Ia susulan jemputan Rizal kepada ADUN DAP itu untuk melawat PERMATA namun Yeo pula mahu melihat akaun agensi itu terlebih dahulu.

Rizal dalam satu kenyataan berkata jemputan itu hanya membolehkan Yeo belajar mengenai PERMATA dan bukan meneliti akaunnya.

"Kami menyedari bahawa Yeo seolah-olah hanya mahu meneliti buku-buku (akaun) PERMATA.

"Saya ingin menasihatkan Yeo pertamanya untuk melihat DAP di Pulau Pinang di mana ketua menteri sedang didakwa kerana rasuah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen