malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada parti dapat sokongan padu pengundi muda Melayu - Rafizi
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 10:36 PM
Dikemaskini: 2:47 PM
ADS

Tiada mana-mana parti politik, sama ada BN atau pembangkang mendapat sokongan padu pengundi Melayu pada masa ini, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Katanya, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru sekalipun, Umno belum tentu menang mudah kerana sokongan kepada parti itu juga adalah rendah.

Beliau berkata demikian berdasarkan kaji selidik yang dijalankan di atas talian terhadap 746 responden sejak 23 September lalu.

Dalam kaji selidik yang ditunjukkan Rafizi, BN mendapat sokongan paling rendah iaitu sebanyak 5.5 peratus di kalangan penyokong setia mereka.

Pengundi setia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan sebanyak 50 hingga 100 peratus untuk mengundi sesebuah parti.

Ia disusuli sokongan pengundi muda Melayu kepada DAP yang kedua terendah iaitu pada 16.2 peratus.

"Parti-parti lama yang mengalami perpecahan sehingga tertubuhnya parti baru (seperti PAS/AMANAH dan Umno/BERSATU) terkesan dari perpecahan ini iaitu peratus sokongan mereka sekitar 23 peratus (AMANAH) ke 35.5 peratus (PAS) atau 26.9 peratus (BERSATU)," katanya.

PKR pula mendapat sokongan paling tinggi iaitu sebanyak 48.3 peratus daripada kalangan mereka yang cenderung sebanyak 50 hingga 100 peratus mengundi parti itu.

"Kemungkinan besar PKR mendapat sokongan pengundi muda Melayu yang paling tinggi kerana ia paling kurang kontroversi dan tidak berlaku perpecahan sehingga tertubuhnya parti baru," katanya.

"Oleh yang demikian, saya mempertahankan bahawa tiada mana-mana parti yang benar-benar mendapat sokongan padu pengundi muda Melayu sekarang.

"Jika berlaku pertembungan tiga penjuru pun, tidak tentu Umno akan menang mudah kerana peratus sokongan kepada Umno adalah sangat rendah," katanya.

Justeru katanya usaha perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan agar pertembungan satu lawan menjadi kenyataan. 

"Jika pun tidak dapat, sebaiknya parti-parti Pakatan Harapan (KEADILAN, AMANAH dan DAP) memulakan perbincangan untuk menggunakan satu logo kerana jelas bahawa imej setiap parti adalah berbeza dan menarik peratus sokongan yang berbeza-beza," katanya.

Lihat Komen