malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Konvoi BERSIH 5 berlepas dari lima lokasi, Sabtu ini
ADS

Pengerusi gabungan pembaharuan pilihan raya, BERSIH, Maria Chin Abdullah akan melepaskan peserta konvoi BERSIH 5 konvoi dari Kota Baru pada 1 Oktober ini.

Konvoi selama tujuh minggu itu juga akan dilepaskan secara serentak daripada lima lokasi lain di lima buah negeri, meliputi 246 bandar, pekan dan kampung.

Penyelaras konvoi untuk Pantai Timur, Safwan Anang, berkata beliau dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Kota Baru.

"Kami (penganjur) dipanggil untuk berjumpa Ketua Polis Daerah (Kota Baru) semalam.

"Beliau berkata dirinya tidak mempunyai masalah dengan konvoi itu tetapi hanya meminta penyesuaian kecil berhubung laluan," kata Safwan pada sidang media di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini.

Katanya, penyesuan itu adalah supaya peserta konvoi yang dijadualkan dilepaskan Padang Bank, Kota Baru, tidak berbasikal di jalan-jalan utama yang sibuk.

"Jadi ini menunjukkan polis juga mula menyokong kami," kata Safwan.

Begitu juga, ahli BERSIH, Jay Jay Denis yang berkata polis bekerjasama dalam anjuran konvoi di Pantai Barat yang bermula dari Lumut, Perak.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan kerjasama," kata Denis.

Aktivis Hishamuddin Rais juga dijangka menyertai konvoi di Lumut itu.

Sementara, Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia, Datuk Ambiga Sreenevasan, akan berada di Johor Baru, Johor, dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pula di Kangar, Perlis.

Maria sebelum ini memberi jaminan bahawa penganjur akan mematuhi notis 10 hari yang dikehendaki seperti yang disyaratkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Walaupun konvoi akan bergerak setiap hujung minggu, pelbagai aktiviti akan diadakan di kawasan-kawasan yang dilawati mereka di sepanjang jalan.

Matlamatnya, menurut Bersih, adalah untuk mencetuskan perbualan nasional mengenai isu-isu yang berkaitan dengan 1MDB dan desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya.

Mengikut gaya Sukan Olimpik, obor simbolik akan dibawa bersama-sama oleh konvoi, sebelum mereka berkumpul pada 19 November ini untuk himpunan kemuncak BERSIH 5 di Kuala Lumpur.

Lihat Komen