malaysiakini logo
story-image
ADS

Lembaga Tatatertib Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini mengambil keputusan menyingkirkan seorang pelajar kerana didapati bersalah menyertai perhimpunan haram bagi menentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara dua minggu lalu.

Pelajar tahun dua jurusan kejuruteraan elektrik, Rafzan Ramli, diberitahu beliau disingkirkan daripada mengikuti pengajiannya di universiti itu selepas Lembaga Tatatertib yang disertai oleh enam anggota bersidang selama satu jam.

Bagaimanapun, Rafzan memberitahu malaysiakini bahawa hukuman itu terlalu berat sedangkan beliau tidak diberi peluang untuk membela diri.

"Saya menafikan tuduhan itu tetapi pihak lembaga enggan membenarkan peguam atau saksi hadir sama ketika itu, tanpa menyatakan sebab," katanya membela diri.

Berikutan itu, malaysiakini telah menghubungi pendaftar universiti, Mohd Ariffin Ibrahim, tetapi beliau enggan memberi sebarang komen.

"Hanya Naib-Canselor, Dr Ibrahim Abu Shah atau bahagian hal ehwal korporat universiti yang boleh memberi komen," katanya.

Pada 8 Jun lalu, tujuh pelajar ditahan kerana dituduh mengambil bahagian bersama 200 peserta lain, dalam perhimpunan haram menuntut dihapuskan ISA. Polis telah menahan pelajar-pelajar itu di balai polis Dang Wangi selama satu malam. Mereka kemudian dibebaskan dengan ikat jamin tanpa sebarang dakwaan.

Tindakan lanjut

Rafzan telah diberi kebenaran untuk membuat rayuan keatas keputusan hari ini kepada Kementarian Pendidikan.

Lembaga Tatatertib telah mengadakan sidang pertama minggu lepas, tetapi ia ditangguhkan selama dua minggu atas mintaan Rafzan.

"Bagaimanapun, sidang hari ini sepatutnya diadakan minggu hadapan telah dipercepatkan sehingga saya tidak siap sedia untuk membela diri."

Pihak universiti telah mengeluarkan surat rasmi kepada Rafzan bahawa beliau dituduh di bawah Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, kerana menyalahi Seksyen 3(a), (b) dan Seksyen 11, yang menyebut seorang pelajar tidak harus mengaibkan reputasi sesebuah institusi, menyalahi undang-undang dan peraturan sama ada di dalam dan di luar kampus dan mengambil bahagian, menganjurkan atau mencetuskan sebarang aktiviti kampus tanpa kebenaran pihak berkuasa universiti.

Sementara itu, peguamnya, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff memberitahu malaysiakini bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas UiTM.

"Kami akan membawa kes Rafzan ke peringkat tertinggi dan kami juga bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok," katanya.

Berikutan itu, beberapa pertubuhan dan parti telah memberi reaksi terhadap tindakan Lembaga Tatatertib UiTM menyingkir pelajar tersebut.

Pertubuhan hak asasi manusia Suaram, Pergerakan Demokratik Pelajar-pelajar Malaysia dan parti pembangkang DAP mengutuk tindakan disiplin oleh pihak universiti ke atas Rafzan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.