malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid Samad: BERSIH 5 akan dapat sokongan Melayu
ADS

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yakin himpunan besar-besaran BERSIH 5 bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 November ini akan disertai oleh orang Melayu.

Katanya, ini kerana selain ahli Parti Amanah Negara (AMANAH), ahli PAS juga akan turut serta kerana sejak dari dulu lagi mereka sudah diasuh untuk menolak kezaliman dan protes itu selaras dengan perjuangan BERSIH yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

“PAS walaupun dikatakan tidak hadir tapi saya yakin ahli-ahli PAS akan hadir bersama sebab ini satu perkara yang telah jadi darah daging orang PAS.

“Sekiranya kepimpinan berubah dari segi pendekatan tapi saya yakin ia jadi cabaran bagi PAS untuk halang ahli mereka turun bersama sebab dari dulu (ahli PAS) telah ditabiyah (dididik) kewajipan menentang kezaliman,” katanya yang juga adalah pengarah komunikasi AMANAH.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Sebelum ini, DAP dilaporkan berkata PAS harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat untuk menumbangkan BN termasuk menyertai perhimpunan BERSIH 5.

Namun setakat ini, PAS masih belum memutuskan penyertaannya dalam BERSIH 5 walaupun tarikh perhimpunan itu diumumkan.

Pada himpunan BERSIH 4, Ogos tahun lalu PAS tidak mengarahkan ahlinya untuk bersama berhimpun sebaliknya hanya beberapa pimpinan sahaja yang turun.

Ketiadaan sokongan daripada PAS dikatakan sebagai salah satu daripada sebab utama kekurangan penyertaan kaum Melayu.

Sehingga hari ini, PAS masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong perhimpunan BERSIH 5 yang juga bertujuan untuk mendesak tindakan ke atas kemelut 1MDB.

Himpunan itu dijadualkan berlangsung pada 19 November yang tertumpu di Kuala Lumpur.

Lihat Komen