malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azalina: Rasional Husam gugur saman tak dapat diterima
Diterbitkan:  Sep 26, 2016 6:15 PM
Dikemaskini: 10:21 AM
ADS

Justifikasi ADUN Salor, Datuk Husam Musa menggugurkan saman 'class action' atau ‘tindakan kelas’ di Amerika Syarikat tidak dapat diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

Husam dan peguam Matthias Chang memfailkan saman tindakan kelas terhadap syarikatdan individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB yang mahu dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Saman itu bagaimanapun digugurkan Jumaat lalu.

“Alasan Husam di dalam kenyataannya bertarikh 24 September 2016, di mana beliau menyatakan bahawa penarikan balik saman itu dibuat bertujuan untuk menyesuaikan saman tersebut ekoran beberapa perkembangan-perkembangan terkini, adalah tidak dapat diterima.

“Sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk membuat penambahan fakt, ianya boleh dilakukan tanpa menggugurkan tindakan menerusi prosedur permohonan tambahan,” kata Azalina dalam satu kenyataan.

Husam berkata saman itu digugurkan dengan mengambil rundingan DOJ dengan pengeluar Red Granite Pictures, untuk mengetepikan keuntungan masa depan dari filem Wolf of Wall Street, yang didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau perlu mengumpul maklumat lanjut daripada peguam, manakala Chang memberi jaminan bahawa kedua-dua mereka tahu apa yang mereka lakukan.

Azalina berkata tindakan mereka Jumaat lalu menunjukkan saman itu adalah “berniat jahat” dan untuk “meraih publisiti murahan” dan juga penyalahgunaan terhadap proses mahkamah.

“Kedua-dua mereka bukan sahaja cuba untuk memalukan Malaysia, malah tindakan mereka boleh dilihat sebagai kurang faham akan prosedur mahkamah dan keperluan asas bagi pemfailan 'Class Action'.

“Tindakan mereka juga dilakukan atas tujuan politik dan mereka terburu-buru di dalam perkara ini semata-mata untuk mendapat publisiti dengan menyalahgunakan mahkamah,” katanya.

DOJ pada Ogos lalu memfailkan tindakan undang-undang untuk menyita dan merampas aset lebih AS$1 bilion yang dipercayai diselewengkan daripada 1MDB.

Mereka yang dinamakan dalam tuntutan mahkamah itu termasuk pengasas Red Granite yang juga adalah anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - Riza Aziz, - ahli perniagaan Malaysia, Jho Low dan bekas pegawai kanan Abu Dhabi, Mohamed Badawy al-Husseiny dan Khadem al-Qubaisi.

Najib berkata semua yang dikenal pasti dalam saman itu perlu membersihkan nama mereka.

Lihat Komen