malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mengapa bekas KM Melaka hanya didenda RM1,900?
ADS

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Selasa lalu menjadi individu terbaru yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat-naikkan komen jelek di media sosial.

Sebelas bulan selepas beliau pertama kali mengaku tidak bersalah, Rahim dikenakan denda sebanyak RM1,900 kerana membuat komen jelek ke atas Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tahun lalu.

Ini adalah hukuman paling ringan yang dijatuhkan daripada 12 kes sabitan yang dilaporkan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia sejak tahun 2009, dengan hukuman terdiri daripada denda RM10,000 kepada setinggi RM50,000 atau penjara setahun.

Empat bulan sebelum ini, Muhammad Amirul Azwan Mohd Shakri, 19 tahun mengaku bersalah menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun.

Rayuan terhadap hukuman itu oleh ibu bapa Amirul menyebabkan remaja berkenaan berakhir dengan hukuman lebih lama iaitu tiga tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak.

Persoalan timbul mengapa Rahim dilepaskan dengan hukuman yang begitu ringan berbanding yang lain.

Menjelaskan bagaimana hakim menjatuhkan hukuman secara umum, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata bahawa sesuatu kes itu bergantung kepada budi bicara hakim, tetapi mesti dilaksanakan secara bijaksana.

Paulsen berkata hakim akan mengambil kira faktor, seperti sama ada ia adalah kesalahan kalipertama; keseriusan jenayah; dan sama ada tertuduh mengaku bersalah atau kes itu melalui perbicaraan penuh.

"Secara umumnya, jika kamu mengaku bersalah, kamu akan mendapatkan hukuman yang jauh ringan," katanya kepada Malaysiakini.

Garis panduan hakim

Dalam kes Rahim, aktivis undang-undang itu berkata ia mungkin disebabkan bekas ketua menteri itu mempunyai akses kepada peguam yang lebih baik.

Peguam Syahredzan Johan berkata, hakim mungkin mengambil kira sumbangan Rahim kepada masyarakat.

"Tetapi kamu juga boleh berhujah, sebagai bekas ketua menteri, Rahim sepatutnya lebih tahu," kata Syahredzan.

Namun, katanya hukuman yang dikenakan kepada Rahim, membolehkan orang lain merayu kesalahan mereka, seperti Amirul, dalam mendapatkan hukuman lebih ringan.

Syahredzan berkata, bagi mengelakkan percanggahan dalam menjatuhkan hukuman, Malaysia perlu mengkaji kemungkinan memperkenalkan garis panduan hukuman bagi rujukan hakim.

Paulsen berkata kerajaan memandang serius kesalahan media sosial selama ini, dan pendakwa raya sering-kali mendesak hukuman lebih berat dijatuhkan.

"Kerajaan menjadikan kesalahan di media sosial sebagai kesalahan paling serius di dunia.

"Tetapi pada akhirnya, posting di media sosial, bukan jenayah serius seperti merompak, merogol, atau membunuh."

Manakala data bagi hukuman kes-kes mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia tidak menyeluruh, statistik mengenai pendakwaan menunjukkan bahawa kerajaan bertindak tegas berhubung komen di media sosial.

Terdapat peningkatan siasatan mengikut akta itu sejak 10 tahun lalu dengan lonjakan pertuduhan difailkan tahun lalu.

Selain Rahim, tujuh orang lain telah didakwa di bawah akta itu tahun lalu.

 

Ini termasuk aktivis PSM, Khalid Ismath, yang didakwa dengan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 233 kerana posting di media sosial yang mengkritik kerabat diraja Johor.

Seorang lagi, Wan Fatul Johari, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan, tahun lalu, selepas gagal membayar denda RM120,000 untuk tiga pertuduhan di bawah akta tersebut.

Sementara itu, dua yang lain termasuk pemimpin PSM, S Arutchelvan didakwa atas komen mengkritik mahkamah berhubung penahanan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Individu ketiga adalah bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Sebahagian besar pertuduhan masih berterusan di bawah siasatan yang membabitkan posting di media sosial yang didakwa menyinggung perasaan kerabat diraja.

Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, mereka yang bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun, atau kedua-duanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen