malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kejayaan wira paralimpik, ketengahkan anak OKU
ADS

Pencapaian luar biasa atlet Paralimpik Malaysia di Rio de Janeiro, Brazil diharap dapat membuka mata ibu bapa yang dikurniakan anak-anak istimewa.

Pengasas OKU Sentral Ras Adiba Radzi berpendapat, masyarakat kini sudah mula memahami keupayaan golongan orang kelainan upaya (OKU) lebih-lebih lagi selepas kejayaan wira-wira negara dalam bidang sukan.

"Jadi dengan pencapaian mereka ini semoga ramai ibu bapa akan mengenengahkan anak-anak mereka yang OKU tak kisah OKU dalam kategori apa pun diberi peluang.

"Beri peluang kepada anak-anak mereka berkecimpung dalam bidang sukan, sukan salah satunya membuatkan anak-anak kita lebih berkeyakinan," katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media di Bangsar, semalam.

Terdahulu Ras Adiba mengumumkan OKU Sentral akan mengadakan rombongan disertai 200 OKU untuk memeriahkan sambutan kepulangan atlet Paralimpik di Komplek Bunga Raya Lapangan Terbang KL.

Menurutnya, OKU Sentral turut mendapat kerjasama daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menyediakan lima buah bas sebagai pengangkutan mereka menyambut kepulangan atlet luar biasa negara.

Atlet Paralimpik Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) , Muhammad Ziyad Zolkefli acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran), Abdul Latif Romly acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dan satu gangsa melalui Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh wanita T20.

Sementara itu Ras Adiba yang juga salah seorang OKU berkata, penglibatan anak-anak OKU dalam bidang sukan juga dilihat akan membuatkan mereka lebih positif selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kini dengan pengiktirafan intensif sama rata seperti atlet normal katanya, lagi banyak potensi dapat dilihat bagaimana anak-anak OKU boleh meraih kejayaan dalam bidang sukan.

"Selain berjaya, mereka juga boleh sedikit sebanyak membantu kewangan keluarga. Mungkin ada sesetengah atlet yang menang tak berapa banyak, tapi kalau tidak siapa nak bagi.

"Jadi, daripada kita kurun anak di rumah lebih baik keluarkan mereka. Biar mereka aktif, biar mereka bekerja atau bersukan," katanya yang mengalami lumpuh dari paras pinggang ke bawah susulan kemalangan kira-kira 16 tahun lalu.

Lihat Komen