malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP: Mana janji SPR hadkan 100,000 pengundi?
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 1:50 PM
Dikemaskini: 5:57 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan setiap kerusi hendaklah mempunyai bilangan pengundi lebih kurang sama banyak.

Sebaliknya, katanya, persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak baru-baru ini semata-mata menguntungkan parti tertentu dan mempersoalkan sama ada ia dirangka demi kelangsungan politik Umno.

“Jadual Ketiga Belas memperuntukkan kewajaran (perbezaan jurang pengundi) antara kawasan-kawasan luar bandar, tetapi jurang perbezaan pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar perlu sentiasa merapat dan tidak melebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan memberi contoh dua kawasan Subang Jaya (bandar) dan Sungai Air Tawar (luar bandar) di Selangor, katanya, jurang perbezaan pengundi di antara kedua-dua kawasan tersebut kini telah melebar berbanding pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Menurut Lim, mengikut cadangan persempadanan itu, Sungai Air Tawar mengalami penurunan jumlah pengundi iaitu 15,033 berbanding 15,187 pada PRU-13 lalu, manakala Subang Jaya mencatatkan peningkatan jumlah pengundi daripada 61,688 kepada 66,059.

“Mengapa SPR meluaskan dan bukannya merapatkan jurang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, jika tidak ada agenda tersembunyi dalam penyusunan semula persempadanan itu untuk memberi manfaat kepada Umno?” soalnya.

Lim berkata, usul persempadanan semula itu turut membelakangi prisip yang pernah dibentangkan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada tiga tahun lalu, untuk memastikan kawasan pilihan raya akan dihadkan kepada 100,000 jumlah pengundi.

“Mengapa Datuk Mohd Hashim Abdullah (Pengerusi baru SPR) meninggalkan prinsip perlembagaan dan demokrasi yang penting dalam usul itu?

“Adakah ini atas perintah orang yang berkuasa dalam Umno?” soalnya.

Pada Disember 2013, Abdul Aziz, berkata, SPR akan berusaha untuk memecahkan kawasan-kawasan pilihan raya bagi memastikan ia hanya mengandungi tidak lebih 100,000 pengundi.

Selangor bakal jatuh

Mengulas isu yang sama, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata cadangan SPR itu adalah bagi membolehkan BN merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, cadangan persempadanan semula di Selangor menyaksikan pengundi pro-pembangkang ‘dihimpun’ ke satu kawasan parlimen yang sama, manakala pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan kecil.

“Jadi, BN terpaksa melukis semula sempadan kawasan pilihan raya sehingga membolehkan parti itu dijamin kemenangan besar walaupun undi popular mereka terus merosot.

“Cara termudah adalah menghimpunkan pengundi pro-pembangkang ke satu kawasan pilihan raya yang besar, iaitu dengan lebih 100 ribu pengundi.

“Pengundi pro-kerajaan pula dipecahkan kepada beberapa kawasan lebih kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua mendakwa tindakan itu satu-satunya muslihat BN berikutan populariti Umno yang semakin menurun di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan skandal kewangan 1MDB yang masih tidak selesai, serta pelaksanaan cukai GST.

Pua yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara memberi contoh kawasannya yang akan dinamakan semula sebagai ‘Damansara’ bakal menjadi kawasan tunggal terbesar dengan 150,439 pengundi setelah mengalami peningkatan sebanyak 76.2 peratus.

Sebaliknya, kawasan parlimen Subang yang kini ditukar menjadi ‘Sungai Buloh’ mengalami pengurangan pengundi berikutan kawasan DUN Bukit Lanjan dialih ke parlimen Damansara.

Bukit Lanjan telah menyumbang majoriti 17,200 undi kepada parlimen Subang sehingga memberi kemenangan majoriti kepada R Sivarasa dari PKR pada PRU-13 lalu.

Pua berkata, analisis DAP baru-baru ini mendapati Damansara mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti 73,533 undi namun Sungai Buloh akan menjadi kerusi marginal.

Katanya, berdasarkan corak mengundi pada tahun 2013, sekurang-kurangnya tujuh kerusi DUN akan dirampas kembali oleh BN iaitu Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang dan Morib.

“Pada masa sama, majoriti untuk sekurang-kurangnya 10 kerusi akan jauh berkurang bagi meletakkan mereka dalam jangkauan calon-calon BN.

“Dengan persempadanan tidak sekata serta tidak adil ini, ditambah pula dengan kempen agresif mereka menggunakan retorik kaum dan agama, berkemungkinan besar Selangor akan jatuh kembali ke tangan BN,” katanya.

Beliau berkara, Jawatankuasa DAP Selangor akan mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan hasil kajian serta langkah-langkah yang wajib diambil bagi memastikan rakyat Selangor tidak ‘dirompak’ pada pilihan raya akan datang.

Lihat Komen