malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'MIC kaitkan artikel Rosmah dengan pengganas gelikan hati'
Diterbitkan:  Sep 15, 2016 3:20 PM
Dikemaskini: 7:48 AM
ADS

Ahli Parlimen DAP Charles Santiago mengkritik Bendahari Agung MIC Datuk S Vell Pari berhubung kenyataan terhadap Wall Street Journal dengan menyifatkan parti itu semakin terdesak mempertahankan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Vell Pari bahawa laporan WSJ mengenai isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai serangan terhadap kedaulatan Malaysia.

Santiago berkata laporan mengenai Rosmah berbelanja sebanyak AS$6 juta untuk membeli belah seperti disiarkan akhbar itu tiada kaitan usaha menjatuhkan kerajaan.

"Tetapi ketidakupayaan Najib untuk memberikan jawapan yang munasabah mengenai 1MDB dan kurangnya ketelusan menyebabkan ringgit akan jatuh dan dipercepatkan dengan keruntuhan ekonomi.

"Dan akhir sekali kewartawanan penyiasatan bukan serangan pengganas ke atas negara ini. Kesimpulan simplistik sedemikian adalah menggelikan hati walaupun ia dilakukan untuk mendapatkan mata penghargaan," katanya.

Ahli Parlimen DAP berkata, jika Vell Paari mahu menangkis artikel itu, beliau perlu berbuat demikian dengan fakta dan angka.

"Ia adalah baik jika orang lain seperti Vell Paari boleh memikirkan kemarahan rakyat, gaji yang tak berubah, kenaikan kos sara hidup, perubatan dan perjuangan mereka membayar yuran kolej, sebelum melakukan retorik untuk Najib dan isterinya," katanya.

Isnin lalu WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa bahawa Rosmah membelanjakan AS$ 6 juta untuk membeli pakaian, kasut dan barang kemas dalam tempoh tujuh tahun.

Susulan itu Vell Pari berpendapat dakwaan WSJ adalah satu bentuk serangan pengganas ke atas Malaysia bertujuan memusnahkan negara dari segi politik dan ekonomi.

Lihat Komen