malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Kerjasama lawan BN lebih penting daripada gabungan rasmi’
Diterbitkan:  Sep 15, 2016 10:39 AM
Dikemaskini: 3:05 AM
ADS

Mengulas gesaan supaya pembangkang bersatu menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, beberapa pemimpin Pakatan Harapan berhujah bahawa gabungan rasmi tidak diperlukan bagi mencapai matlamat satu lawan satu dengan BN.

Akhbar Sinar Harian memetik Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, yang lebih penting adalah kerjasama sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Sebaik-baiknya satu lawan satu itu perlu dicapai oleh pembangkang. Kita kena jelas apa matlamat pembangkang.

“Jika kita mahu merealisasikan hasrat rakyat untuk mengubah kerajaan dan menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib azak, maka kerjasama diperlukan. Itu wajib,” katanya.

‘Comparative advantage’

Zairil yang juga adalah ahli parlimen Bukit Bendera berkata pembangkang juga harus mengambil pendekatan ‘comparative advantage’ dalam menentukan parti mana yang bertanding.

“Ini bererti, pemilihan parti mestilah berdasarkan prinsip boleh menang, dan siapa yang paling berpengaruh dalam kawasan tersebut,” katanya.

Sinar Harian juga memetik Naib Presiden PKR, Tian Chua yang bersetuju dengan saranan pemimpin Melayu DAP itu.

Beliau senada bahawa, parti pembangkang perlu mendapatkan persetujuan bekerjasama walaupun tidak berada dalam satu pakatan.

“Kalau dapat bergabung di bawah satu pakatan, lagi bagus. Tetapi jika tidak, sekurang-kurangnya kita perlu dapat persetujuan untuk kerjasama satu lawan satu,” katanya.

Tian yang juga adalah ahli parlimen Batu berkata, konsep satu lawan satu telah diamalkan oleh pembangkang selama ini dan berjaya memberi kemenangan besar.

“Saya yakin pembangkang akan bergabung semula pada PRU14 nanti untuk mencapai hasrat satu lawan satu,” katanya sambil menambah beliau yakin pembangkang akan bergabung semula pada PRU14 nanti untuk mencapai hasrat satu lawan satu.

Satu matlamat

Sinar Harian dalam artikel berasingan juga memetik Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub yang menggesa semua parti pembangkang supaya memulakan rundingan mengenai kerjasama berdasarkan matlamat yang sama untuk menukar kerajaan BN.

“Sebelum mencapai kata sepakat tentang siapa bertanding, semua parti pembangkang kena segera bersetuju untuk ke meja perundingan.

“Selepas itu baru kita boleh berbincang mengenai masalah pembahagian kerusi dan sebagainya.

“Tetapi, syaratnya ialah semua parti pembangkang kena ada satu matlamat yang sama dan kita perlu berganding untuk capai matlamat itu,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Spekulasi

Ketika spekulasi memuncak lononnya PRU-14 akan diadakan sebelum 2018, sebuah parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diasaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula muncul dengan matlamat utama menentang Najib.

Perdamaian terbaru Dr Mahathir dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara dilihat secara meluas sebagai kuasa baru untuk menyatukan parti-parti pembangkang.

Selain daripada Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan AMANAH, pembangkang di peringkat persekutuan diwakili oleh Parti Sosialis Malaysia dan PAS yang telah membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Lihat Komen