malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Butiran konsesi baru ERL mesti didedah, kata DAP
Diterbitkan:  Sep 15, 2016 10:08 AM
Dikemaskini: 3:02 AM
ADS

DAP mahu kajian semula ke atas perjanjian konsesi dengan syarikat Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) didedahkan kepada umum agar ia tidak lagi bersifat “berat sebelah” dan tidak menguntungkan rakyat sepert konsesi sekarang.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata, kegagalan kerajaan mendedahkan kepada rakyat mengenai butiran perjanjiannya dengan syarikat penyedia pengangkutan awam itu menyaksikan kenaikan tambang secara mendadak.

“ERL sewenang-wenangnya menuntut kenaikan harga tambang kerana bebas daripada penelitian masyarakat.

“Mengikut konsesi kini antara kerajaan dengan ERL, harga tambang sehala dari KL Sentral ke KLIA akan meningkat kepada RM97 pada 2019 dan RM126 (2024) daripada RM31 sejak ia mula beroperasi pada 1999,” katanya dalam satu kenyataan media.

Malah, katanya, ditambah dengan sasaran keuntungan yang tidak dicapai ERL pada tahun 2014 yang membenarkannya menuntut pampasan daripada kerajaan.

ERL menjangka keuntungan RM905 juta, namun hanya memperoleh RM123.3 juta pada tahun itu.

Justeru, mengambil kira tanggungan yang telah diambil kerajaan dan penambahan penumpang itu, kata Ong, adalah adil bagi kerajaan untuk berunding semula dengan ERL dan menandatangani perjanjian konsesi baru yang lebih telus dan mesra rakyat.

Rundingan itu, katanya, boleh dilakukan dalam perjanjian konsesi lanjutan yang akan ditandatangani kerajaan dengan ERL pada bulan ini.

“Untuk memastikan orang ramai tahu bahawa kerajaan dan juga pengguna mendapat keadilan daripada perjanjian konsesi yang baru ini (jika terlaksana), saya menyeru kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi (tersebut) dengan menyiarkan pada laman web kerajaan.

“Dan juga untuk mnteri yang bertanggungjawab daripada rundingan semula perjanjian konsesi itu untuk menjelaskan perjanjian baru dalam satu sidang akhbar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan konsesi antara kerajaan dan ERL dilihat berat sebelah.

Perjanjian konsesi itu akan berlanjutan sehingga 2059, iaitu 30 tahun daripada tahun 2029 di mana tahun asal perjanjian itu tamat.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen