malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Naik taraf pencawang elektrik atasi masalah LRT
ADS

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beberapa langkah segera diambil untuk mengatasi gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya termasuk menaik taraf serta merta 15 pencawang
tenaga elektrik sepanjang laluan berkenaan.

Perdana Menteri berkata penaiktarafan pencawang elektrik itu akan memastikan jangka hayat sistem elektrik dapat dipanjangkan bagi menampung keperluan semasa yang kian meningkat serta mengambil kira keperluan pada masa hadapan.

"Langkah ini dijangka mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan
untuk diselesaikan sepenuhnya," kata beliau dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz dan Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD) hari ini, beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan awal Prasarana mendapati bekalan elektrik terputus mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 Sept lepas.

"Selain itu, SPAD menekankan keperluan Prasarana melaksanakan
penilaian terperinci keseluruhan sedia ada memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi hampir 20 tahun," kata beliau.

Perdana menteri berkata penilaian itu akan mengenal pasti risiko yang ada serta langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko berkenaan selain menyediakan perancangan sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya.

"Saya telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh
Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD bagi pematuhan semua syarat dan peraturan sedia ada," kata beliau.

Najib berkata beliau turut mengarahkan Prasarana supaya menjalankan
penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk memastikan kapasiti mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak kereta api baharu bagi laluan Kelana Jaya menjelang November ini.

"Gerabak-gerabak ini berupaya membekalkan kapasiti serta kekerapan tambahan, sekali gus mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pada hari bekerja," kata beliau.

"Ini antara langkah-langkah segera yang telah saya arahkan untuk
dilaksanakan oleh Prasarana dan SPAD bagi mengatasi masalah dihadapi pengguna-pengguna LRT sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utaman rakyat," kata perdana menteri.

Najib berkata kerajaan, dan beliau sendiri secara peribadi, menganggap
gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya sebanyak dua kali pada minggu lepas sebagai perkara yang amat serius.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Prasarana dan SPAD untuk menyiarkan butiran dan hasil siasatan insiden itu sebaik sahaja siasatan selesai.

Pada 7 Sept lepas, ribuan pengguna terkandas di beberapa stesen laluan LRT Kelana Jaya sejak 7 pagi akibat masalah berkaitan sistem isyarat dan komunikasi yang menyebabkan kelewatan perjalanan tren di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi.

Perkhidmatan tren kembali pulih seperti biasa bagi stesen arah Utara dan
Selatan kira-kira 1.15 tengah hari.

Pada 9 Sept pula, perkhidmatan LRT bagi laluan Setiawangsa-KLCC terganggu semasa waktu puncak pada 9 pagi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.

Penumpang tren berkenaan kemudian terpaksa berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai dengan mengambil masa hampir 10 minit.
Perkhidmatan itu kemudian dipulihkan pada kira-kira 11.45 pagi.

-Bernama

 

Lihat Komen