malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pengguna LRT mahu jaminan ganguan tak berulang
ADS

Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) mengharapkan agar pihak Rapid Rail Sdn Bhd dapat memperbaiki kelemahan serta menyediakan pelan kecemasan sekiranya perkhidmatan itu tergendala lagi.

Rata-rata pengguna ketika ditemui Malaysiakini melahirkan rasa kecewa berikutan tergendalanya perkhidmatan kereta api dua kali- pada Rabu dan Jumaat - minggu lalu.

Walaupun kejadian tersebut disebabkan gangguan teknikal, namun sebagai pengguna mereka mengharapkan agar kejadian itu tidak berulang.

Bagi Vivian Francis, 28, yang mempunyai pengalaman tinggal di Eropah, Rapid Rail perlu mempertingkatkan sistemnya.

Malah, beliau yang baru tiba di Malaysia selama dua bulan turut menyarankan agar sistem pengangkutan awam di negara ini diperbaiki memandangkan Malaysia adalah negara membangun.

"Saya harap mereka pertingkatkan lagi la, (masalah) tergendala, masa.

"Dulu saya tinggal di Eropah, kalau nak bandingkan (sistem kereta api) dengan sini, memang susah dan teruk. Malaysia kena pertingkatkan lagi.

"Kita bukan negara dunia ketiga tetapi pengangkutan awam kita macam negara dunia ketiga," katanya kepada Malaysiakini.

Sampai kerja waktu petang

Ditanya mengenai inisiatif Rapid Rail untuk memberi perkhidmatan LRT percuma, Vivian berkata apa yang berlaku tidak boleh 'dibayar' dengan perkhidmatan percuma berkenaan.

"Saya rasa apa pun kena pertingkatkan masalah teknikal. Sekali dah lambat pergi kerja, kita dah ada pengalaman yang buruk.

"Bagi tiga hari percuma pun, ia bukan tentang duit tetapi ia tentang masa dan berada tepat pada waktunya," katanya.

Turut melahirkan rasa kecewa ialah seorang gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 30, yang menggunakan LRT setiap hari untuk ke tempat kerja.

Menceritakan mengenai peristiwa kereta api tergendala, Nur berkata pada Rabu lalu dia masuk ke tempat kerja pada waktu petang kerana masalah teknikal LRT selesai lewat.

Pada hari kedua kejadian - pada Jumaat - Nur masuk bekerja pada waktu tengah hari.

Justeru, Nur mengharapkan agar kelemahan berikutan kejadian LRT tergendala itu diperbaiki agar tidak berulang.

"Harga tiket makin naik tapi perkhidmatan makin merosot. Kita faham mungkin sebab masalah teknikal.

"Saya memang sangat-sangat kecewa sebab pada hari pertama (kejadian), saya sepatutnya masuk (kerja) awal tapi petang baru masuk. Hari kedua, tengah hari baru dapat masuk (kerja)," luahnya.

Gantirugi pun tak guna

Sehubungan itu, Nur berharap sekiranya kejadian sama berulang, pihak Rapid dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera dan tidak mengambil masa terlalu lama.

"Kalau kerajaan nak ganti bagi tiga hari percuma pun tak guna sebab benda dah lepas. Harap-harap mereka dapat selesaikan masalah dan kalau boleh jangan sampai petang. Kalau setengah jam OK lagi.

"Ni sampai satu hari (baru masalah selesai) tak patutlah," katanya.

Bagi pelajar Nur Aufa Awatif Abdul Razak, 19, pula mengharapkan agar pelan kedua dapat disediakan bagi memastikan masalah dapat diselesaikan segera sekiranya berlaku kejadian tak diingini melibatkan LRT.

"Memang tak wajar tapi manusia punya sistem memang boleh rosak. Cuma saya harap boleh sediakan plan kedua seperti bas percuma kalau ada kejadian seperti itu lagi," katanya.

Perkara sama turut dikongsikan oleh pelajar Siti Norain Ashira Abdul Rahim, 20, Mohd Nabil Haiqal Jefri, 21, serta seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ozal.

Perkhidmatan percuma

Menurut mereka, sebagai pengguna LRT mereka mengharapkan agar dapat memperbaiki kelemahan selain daripada akan terus memberikan sokongan kepada pengangkutan awam berkenaan.

"Pihak berwajib perlu ambil inisiatif dengan apa yang terjadi. Semoga Rapid dapat perbaiki lagi di masa akan datang," kata Mohd Nabil.

Sabtu lalu, Rapid Rail Sdn Bhd memohon maaf dan akan memberi perkhidmatan percuma selama tiga hari kepada pengguna LRT laluan Kelana Jaya bermula 13 hingga 15 September.

Perkhidmatan percuma itu juga bagi perjalanan dari stesen Gombak - Putra Heights - Gombak yang meliputi 37 stesen.

Ia berikutan gangguan perkhidmatan yang berlaku pada Rabu dan Jumaat lalu akibat hilang punca kuasa elektrik.

Susulan itu, ramai pengguna kesal dan marah kerana terkandas semasa ke tempat kerja serta pada Jumaat pengguna LRT perlu berjalan sejauh 60 meter di atas landasan LRT berhampiran stesen Datuk Keramat sehingga Stesen Damai.

Akibat daripada insiden itu juga, Rapid akan menyiasat punca kejadian dan mengatasinya secepat mungkin selain mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Lihat Komen