malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Saya diminta untuk menjawab, sekurang-kurangnya bagi pihak keluarga atau sebaik-baiknya atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia, perihal dakwaan oleh seorang bekas pemimpin PAS yang dipecat bahawa jika almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ada, maka dia akan memilih untuk masuk Parti Amanah Nasional (AMANAH), parti baru serpihan PAS.

Alasan yang diberi, PAS sudah keluar dari landasan asal perjuangann dan Kelantan kini tidak lagi Kelantan yang dulu.

Saya kata, saya sudah menjawabnya di laman sosial saya di Facebook. Pendek dan sinis sahaja. Pada saya ia mencukupi. Sekuntum dua bunga seroja mencukupi untuk dipadankan dengan wajah yang memang sedia ayu dan menawan.

Kuntuman segar bunga istiqamah dan amanah yang kembang pada tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah mencukupi bagi mereka yang mahukan qudwah dan contoh dalam kehidupan beranjau dan berduri ini.

Tetapi sebahagian mahukan yang lebih panjang dan lebih menjelaskan. Setiap fitnah walaupun terlalu teruk untuk dipercayai, akan tetap ada telinga yang sedia menadah dengar sebagai terapi bagi jiwa yang sudah lama sakit dan tidak sedia diubati lagi.

Ia akhirnya hanya boleh hidup melalui ubat pelalian dengan dos yang tinggi. Fitnah dosnya memang tinggi. Akhirnya fitnah jika dibiar berkembang, ia akan membaham mangsa baru yang tidak berdosa.

Hidup seseorang muslim itu nilainya pada hujung hayatnya. Sampaikah dia ke destinasi yang ditujunya. Jika dia menuju Allah, sehebat mana perjalanan hidupnya menuju Allah itu, hebat itu hanya kekal terpakai apabila dia memang sampai kepada Allah di hujung hayatnya.

Awalnya, tengahnya sehinggalah hujungnya adalah tauhid. Jika tidak, ia sama sahaja, apa erti hebat memandu dalam perjalanan yang jauh menuju destinasi, tetapi hujungnya berakhir di hospital atau terjun longkang?

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kita meyakini pada zahir yang kita lihat bahawa dia telah mengakhiri hidupnya dalam istiqamah menuju Allah. Hidupnya untuk Allah. Dia berjuang demi Allah.

Demi menjaga kekuatan dirinya dalam perjalanan, dia memilih sedari mudanya untuk mengenderai parti PAS sehinggalah akhir hayatnya. Tak pernah bertukar, tersentak atau terhenti.

Itu haknya yang nyata, haknya ke atas semua adalah menyebut istiqamahnya itu. Menyatakan sebaliknya adalah memperlekehkan nilai istiqamah dalam hidupnya itu.

Ertinya, jika saya masuk AMANAH (semoga dijauhi Allah), demi menjaga hak istiqamah ayahanda, saya mesti berkata bahawa saya telah memilih untuk berbeza pandangan daripada ayahanda.

Saya sama sekali tidak boleh berkata, jika ayahanda masih ada, dia pun akan pilih jalan saya yang baru ini. Itu perlecehan yang nyata ke atas hak orang yang telah pergi kepada tuhannya dengan penuh kemuliaan.

Itu pertama. Kedua, PAS bagi ayahanda Tuan Guru adalah sejarah hidup dan jatuh bangun PAS.

PAS membinanya dan dia jugalah yang begitu membina PAS. Dia pernah mentaati dan dia pernah ditaati. Dia memandu dan dia dipandu juga. Puluhan tahun lamanya. Yang tua, yang muda, yang lama dan baru semua pejam celik dengan wajah ayahanda menjadi wajah PAS.

Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah, tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh, tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang. Dia tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu sedikit pun bahawa Islam adalah perjuangannya dan PAS adalah kenderaan dan jamaahnya.

Jika hanya dengan krisis terbaru yang sempat dicium oleh ayahanda sendiri sebelum dia pergi itu dijadikan alasan untuk menukar sinar sejarah perjuangan sucinya dengan PAS yang penuh istiqamah, maka itu adalah perlecehan yang nyata. Mempercayainya adalah penghinaan terhadap diri sendiri bagai melahap bangkai fitnah yang busuk dan menjengkelkan.

Ketiga, saksi-saksi adalah nyata bahawa ayahanda menolak Pertubuhan Sejahtera Ummah Malaysia (PasMa) dan serangan-serangan dalaman oleh beberapa pimpinan PAS pada masa itu terhadap PAS.

Saya, keluarga, ahli jamaah masjid Pulau Melaka, apatah rakan-rakan pimpinan PAS di Kelantan dan di luarnya yang lama bersama ayahanda, semua mengecam dan melihat kemarahan dan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan-tindakan mengkritik Majlis Syura Ulama dan presiden PAS sendiri oleh pimpinan PAS yang hari ini berkumpul di dalam AMANAH dan membedil PAS dengan bantuan DAP sesudah kalah membedil PAS daripada dalam.

Datuk Husam Musa jangan menipu diri sendiri bahawa hari-hari akhir ayahanda adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan ayahanda.

Jangan kaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa. Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi menteri besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak tanduk anak-anak buahnya yang kini bersama bekerja bersama menteri besar baru yang menjadi pilihannya.

Kerana tindak tanduk sesetengah pimpinan termasuk Husam yang bersifat 'memberontak' itulah yang mendorong ayahanda secara berterus terang menuntut ahli PAS memberi wala' dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada presiden PAS dan Majlis Syura Ulama PAS. Sila rujuk siaran-siaran di akhbar-akhbar pada masa itu.

Adakah anda ingin memperlecehkan persaksian nyata itu dengan senjata fitnah yang membunuh kebenaran dan hakikat?

Keempat, benarkah Kelantan hari ini sudah tidak lagi seperti dulu?

Ya, Kelantan dulu ada aura Tuan Guru. Kelantan dulu ada 'style' dan cara Tuan Guru. Kelantan dulu ada sentuhan Tuan Guru. Ya, itulah bezanya.

Jadi, adakah itu ukurannya perjuangan PAS di Kelantan berubah? Jika anda berkata ya, saya berkata, padanlah anda masuk AMANAH pun.

Anda sering menggambarkan yang manis-manis dari zaman Tuan Guru untuk anda bandingkan dengan yang pahit-pahit dari zaman Datuk Ahmad Yaakob (menteri besar Kelantan).

Mengapa kejayaan-kejayaan oleh Datuk Ahmad Yaakob yang tak berlaku di zaman Tuan Guru tidak diangkat dan dipuji?

Saya akan menulis mengenainya nanti insyaAllah. Kelantan boleh jatuh bila-bila masa pun. Tapi janganlah kerana fitnah dalaman yang memusnahkan sejuta kebaikan sedia berkembang mekar.

Kelantan pernah boleh jatuh bila-bila masa pun pada PRU11 2004 dulu. PAS Kelantan bergayut pada majoriti satu kerusi yang menang dengan kelebihan dua undi.

Tetapi kerana api fitnah dalaman tiada, PAS mara dan kembali mengukuh sehingga kini.

Pesan saya, siapa pun boleh membakar dengan bahan bakar fitnah. Tetapi ingat, anda tidak akan memuliakan hidup sendiri dengan pekerjaan sebagai pencetus fitnah, bukan pencetus ummah.


NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ  Ketua Pemuda PAS dan anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lihat Komen