malaysiakini logo
story-image
ADS

Kartunis Zunar akan turun bertemu peminatnya dengan menampilkan karya sarat kontroversi yang mensasarkan kepimpinan tertinggi negara.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque berkata, pameran kartun akan diadakan di Selangor dan Pulau Pinang, serta beberapa negeri lain pada bulan-bulan akan datang.

Kali ini, beliau mahu memudahkan isu berkaitan Malaysian Official 1 supaya orang ramai memahami isu tersebut berikutan terdapat pelbagai laporan mengenainya di media.

"Selain menjadikannya mudah untuk orang ramai faham, saya juga mahu mereka tahu bahawa rasuah bukan isu politik. Kita bayar untuk rasuah. Jadi mesej saya kepada rakyat: jangan hanya berdiam. Bertindak sekarang sebelum terlambat," katanya kepada Malaysiakini.

Kartunis yang kartunnya turut disiarkan Malaysiakini itu kini mengadakan pameran bertemakan 'kartun untuk rakyat' di Kompleks Amcorp Mall, Petaling Jaya dari 3 hingga 10 September.

Beliau mempamerkan 20 kartun terbaik dengan pelbagai subjek, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Hari Merdeka, Akta Hasutan, isteri perdana menteri yang, rasuah dan konspirasi terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semua pameran saya dilakukan di luar, di mana saya pergi kepada rakyat dan tak minta mereka datang kepada saya. Karya seni saya akan dipaparkan di ruang terbuka dan bukan galeri awam atau dewan," kata Zunar memberitahu Malaysiakini.

Katanya, program tersebut turut dirancang diadakan di Shah Alam, Selangor dan beliau sedang berbincang untuk mengadakan pameran yang sama di Pulau Pinang pada November ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen