malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Cerita mengenai isu kehamilan luar nikah terus berlaku di sebalik pelbagai laporan dan langkah diambil bagi mengekangnya.

Dalam keadaan begitu mujur ada rumah kebajikan yang bersedia memberikan bantuan kepada mereka untuk ‘berehat seketika’ daripada bertemu masyarakat.

Pusat perlindungan terletak di ibu kota itu diasaskan Vimmi Yasmin Abd Razak yang mula beroperasi sejak lebih setahun lalu.

Ketika ini ia menjadi tempat perlindungan sementara tujuh ibu berusia bawah 18 tahun serta bayi masing-masing.

"Kita nak bendung masalah buang bayi, kita nak bantu wanita-wanita ini,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika Malaysiakini melawatan pusat tersebut, rumah dua tingkat itu kelihatan sepi. Hanya pakaian bayi lepas dibasuh kelihatan tersidai di luar kediaman itu.

Di dalam, ada tujuh bayi - termasuk seawal usia dua minggu - diletakkan dalam buaian di ruang tamu dan dipantau oleh ibu masing-masing.

Menurut Vimmi (gambar), untuk memudakan pemantauan aktiviti seharian penghuni di situ diawasi melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, disebabkan usia masih muda dan tidak mahu terlalu tertekan dengan keadaan sekeliling pihaknya menyediakan kemudahan Internet bagi membolehkan penghuni di situ berhubung dengan keluarga masing-masing.

“Ada sesetengah tempat perlindungan sangat ketat peraturannya hinggakan penghuni tak benarkan guna telefon bimbit, tapi di sini lain.

"Kami sediakan kemudahan Internet supaya mereka dapat berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan.

“Kita jangan membebel, nanti mereka akan tertekan sebab mereka masih muda. Dengan adanya Internet, remaja ini yang langsung tak ada pengalaman menguruskan bayi boleh melayari Internet dengan mencari maklumat berkaitan cara penjagaan bayi,” katanya.

Keluar selepas bersedia

Vimmi yang turut menguruskan perniagaan makanan berkata, beliau akan memastikan semua ibu muda itu mengambil makanan berkhasiat dan menu disesuaikan mengikut masa berpantang mereka.

“Yang baru bersalin dan dalam berpantang kami beri mereka ikan tenggiri dan juga epal.

“Aktiviti memasak dan mengemas kami bahagi-bahagikan kerja, yang sudah habis berpantang kena masak tapi fokus utama mereka semua adalah menjaga bayi masing,” katanya sambil menambah, kelas pengajian agama diadakan tiga kali seminggu.

Katanya, tidak ada had masa untuk wanita dan bayi itu untuk tinggal di rumah perlindungan berkenaan.

Hanya selepas mereka bersedia untuk berdepan dengan masyarakat, penghuni digalakkan kembali kepada kehidupan asal.

“Ya, masyarakat kita ini memang lebih gemar menghukum. Di sini saya sering ingatkan ibu-ibu ini mereka perlu menghadapi kehidupan sebenar.

“Perkara (melahirkan bayi tanpa nikah) sudah pun berlaku, apa yang perlu sekarang ialah teruskan kehidupan dan jaga anak elok-elok,” katanya.

Vimmi berkata, untuk membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi dan memberi perlindungan beliau tetap memerlukan sumbangan orang ramai dalam bentuk wang kerana perlu membayar sewa dan bil yang tinggi.

Walaupun memang ada pihak memberi sumbangan mereka tetap memerlukan bantuan tambahan daripada orang ramai bagi membina pusat perlindungan kedua kerana tempat sedia ada padat dan kurang selesa untuk didiami.

“Untuk pusat pelindungan yang sekarang ini kos bulanan untuk bayar sewa RM1,800, bil elektrik RM200, air RM200 selain bayaran Internet," katanya.

“Kewangan sehingga kini diuruskan oleh saya sendiri, kami tak dapat daripada syarikat korporat. Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Lembaga Zakat Selangor (LZS) pun tak ada bantu kita,” katanya.

Sementara itu salah seorang penghuni di situ Farah (bukan nama sebenar) berkata, dia sudah berada di pusat berkenaan sejak kandungannya berusia enam bulan.

Farah kemudian melahirkan seorang bayi di Hospital Ampang kira-kira dua bulan lalu.

Sah enam bulan

Gadis berusia 18 tahun tersebut mendakwa dirogol dua abang kandung dan abang iparnya sejak berusia 12 tahun.

“Farah mula disentuh abang pertama ketika usia 12 tahun, selepas itu abang kedua pula rogol dan ketika di tingkatan empat, abang ipar pun sama rogol Farah.

“Masa kali pertama kena saya tak beritahu guru dan rakan-rakan sebab takut tak ada sesiapa percaya.

“Selepas masuk sekolah menengah, Farah minta ibu benarkan tinggal di asrama kerana tak mahu jumpa dengan abang-abang dan abang ipar," katanya.

Selepas dibenarkan hidup Farah agak 'selamat' seketika namun apabila tiba musim cuti dia kembali berdepan risiko menjadi mangsa kebuasan orang yang dekat dengannya.

"Farah rasa berat hati nak balik rumah dan selalu minta kebenaran untuk tinggal di rumah guru," katanya.

Pada suatu hari Farah berasa semacam kurang sihat dan pergi mendapatkan rawatan di hospital.

Pada hari kedua rawatan, doktor mengsahkan Farah hamil enam bulan.

"Farah tak tahu ini anak siapa tapi Farah yakin ini anak abang ipar sebab wajah anak ini mirip muka dia,” katanya.

Farah berkata, beliau sudah membuat tiga laporan polis berhubung perkara ini dan abang-abangnya sudah ditahan reman namun abang iparnya gagal dikesan kerana dipercayai lari ke negara jiran.

“Ibu bapa sangat terkejut, mak sampai pengsan apabila tahu abang buat macam ni pada Farah. Ayah pula macam tak percaya mengapa perkara ni boleh jadi sampai macam ni dan ayah dah tak boleh tengok lagi muka abang,” katanya.

Farah berkata, walau perkara ini terjadi kepadanya namun dalam sanubarinya mahu abang-abangnya berubah dan mereka seharusnya menggalas tanggungjawab dalam menjaga adik beradik yang lain.

Bagi penghuni yang mahu dikenali sebagai Siti pula, dia mengakui kesilapan dengan tidak menjaga batas pergaulan ketika menjalin hubungan dengan teman lelakinya.

“Ini kesilapan saya sendiri, ini anak dari hubungan saya dengan teman lelaki saya. Agak sukar untuk saya beritahu keluarga bahawa saya mengandung.

“Saya beritahu secara berperingkat supaya mereka tidak terlalu terkejut dan saya juga sempat ambil cuti bekerja sampai urusan melahirkan ini selesai,” katanya.

Melalui pengalaman yang dirasainya, Siti turut mengingatkan remaja yang melalui perkara sama sepertinya supaya berterus terang dengan keluarga dan tidak mengambil jalan pintas dengan membuang bayi mereka.

“Sesiapa pun yang mengandung, sebaik-baiknya bagi tahu dengan keluarga dulu. (Dulu) ada orang nasihatkan (saya) bagi tahu secara berperingkat.

“Kalau mak lebih lembut hati, bagi tahu mak dulu. (Kita) kena berani dan kuat semangat untuk bagi tahu dan kena mengaku silap Kita. Apabila dah maklumkan keluarga, proses tu lebih mudah.

“Jangan panik dan cari orang yang boleh bagi nasihat. Silap macam mana pun, berbaliklah kepada Yang Satu,” katanya.

Lihat Komen