malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ujian darah, kencing tiga sekeluarga negatif virus Zika
ADS

Keputusan ujian darah dan air kencing yang dijalani oleh tiga sekeluarga di Melaka didapati negatif Zika, kata Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Beliau berkata pengesahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Melaka
berdasarkan ujian itu yang dijalankan di Klinik Kesihatan Durian Tunggal di Melaka.

"Seorang ibu dan dua anak perempuannya disahkan bebas virus Zika dan sekali gus menyangkal khabar angin (mereka dijangkiti virus Zika) seperti yang disebarkan melalui media sosial.

"Ujian dan diagnosis mendapati mangsa negatif virus itu. Oleh itu, saya
ingin nyatakan bahawa tiada kes Zika di Melaka," katanya pada sidang berita di Melaka hari ini.

Beliau mengulas khabar angin media sosial tentang tiga sekeluarga yang baru pulang dari Singapura dijangkiti virus Zika dan dikuarantin di rumah mereka di Durian Tunggal, Melaka dan dipantau Klinik Kesihatan Durian Tunggal.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementerian akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan itu.

Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata tiga beranak tersebut hadir ke Klinik Kesihatan Durian Tunggal untuk mendapatkan rawatan ekoran mengalami demam dan dibenarkan pulang dan dinasihatkan berehat di rumah.

Sementara itu, beliau berkata satu siasatan dalaman akan dijalankan Jabatan Kesihatan Melaka bagi mengenal pasti individu yang menyebarkan khabar angin itu.

"Sekiranya mereka yang terlibat itu dalam kalangan kakitangan Jabatan
Kesihatan Melaka, kita akan panggil mereka kerana kita mempunyai prosedur operasi standard dan tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Beliau menyifatkan tindakan menyebarkan khabar angin tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang panik dalam kalangan penduduk dan menjejaskan industri pelancongan di negeri ini.

-Bernama

Lihat Komen