malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahasiwa teruskan siri jelajah #TangkapMO1 di kampus
ADS

Penganjur Himpunan #TangkapMO1 hari ini berkata mereka akan terus mengadakan sesi penerangan kepada semua mahasiswa universiti awam dan swasta mengenai isu-isu semasa berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB.

Jurucakap kumpulan itu, Anis Syafiqah Md Yusof berkata sesi pertama dijangka diadakan di kampusnya sendiri - Universiti Malaya -apabila semester baru bermula pada 5 September ini.

"Kita akan mula dengan kampus saya dulu (di UM). Kalau saya tak dapat masuk kampus sendiri saya tak tahulah," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sidang akhbar di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Beliau berkata jelajah itu merupakan kesinambungan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu lepas untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa bagi mengenal pasti dan menyiasat individu yang dikenali sebagai 'Malaysian Official 1' dalam saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Beliau sebelum itu membaca kenyataan gabungan tersebut yang mengumumkan untuk mengadakan siri 'Jelajah Mahasiswa Tangkap MO1' dengan mensasarkan seramai mungkin mahasiswa di kampus universiti awam.

Menjawab gesaan agar pelajar menumpukan perhatian terhadap pelajaran, Anis Syafiqah berkata "Kita akan pilih masa-masa sesuai yang tak mengganggu kuliah. Saya sendiri akan masuk kuliah seperti biasa, seperti mana-mana pelajar biasa lain," katanya yang berada di tahun akhir kuliah bahasa Arab.

Beliau berkata, kali ini para pelajar juga akan memohon mendapatkan kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa kampus bagi bertemu rakan-rakan dan menerangkan mengenai isu berkaitan.

Sementara itu, Luqman Nul Hakim berkata matlamat mereka adalah semata-mata untuk meningkatkan kesedaran dan memulakan perbincangan di kalangan pelajar.

"Kalau berlaku seperti di UiTM, kita akan lihat balik Jelajah Mahasiswa ini. Cuma kita tekankan kita hanya nak bertemu dengan mahasiswa dan beri penerangan. Kita bukan nak menghasut," kata aktivis Persatuan Pelajar Islam Universiti Malaya itu.

Beliau merupakan antara tiga ditahan dalam siri jelajah praperhimpunan #TangkapMO1 di luar UiTM kampus Seri Iskandar baru-baru ini.

Sementara itu, Asheeq Ali menegaskan bahawa sesi taklimat mereka adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memupuk kepimpinan generasi baru melalui usaha seperti Parlimen Belia.

Katanya, hujah bahawa pelajar harus menumpukan perhatian terhadap pelajaran tidak terpakai kerana kerajaan sendiri mendedahkan pelajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seperti itu.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini antara yang dilaporkan menasihatkan pelajar untuk tidak melibatkan diri dalam pergerakan itu dan menumpukan perhatian bagi menamatkan pengajian mereka.

 

Lihat Komen