malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bangsa Johor tidak baik untuk Malaysia - Mahathir
ADS

Menyemarakkan semangat kebangsaan negeri seperti bangsa Johor adalah tidak sihat untuk Malaysia dan boleh membawa kepada keruntuhan persekutuan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau menegaskan, bahawa semua negeri perlu memperjuangkan semangat sebagai rakyat Malaysia, bukan sebagai rakyat negeri berbeza kerana hanya melalui perpaduan sahajalah, Malaysia akan makmur.

“Adalah hak mereka untuk mempromosikan idea itu. Tetapi bagi saya, jika setiap negeri cuba untuk berpisah, maka persekutuan akan runtuh. Kita perlu bekerja bersama kerana hanya dengan perpaduan kita boleh menjadi makmur.

"Malah, ketika kita berpisah sebelum ini, kita tidak makmur. Kita hanya makmur selepas kemerdekaan kerana kita bersatu dalam persekutuan dan menyokong satu sama lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Awal pagi ini, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama  pada Siri Wacana Perdana Ke-20 bertajuk 'Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia' .

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu berkata perlembagaan persekutuan juga tidak membenarkan pemisahan.

"Kita patut gelar diri kita sebagai rakyat Malaysia, bukan warganegara Johor, Kedah dan sebagainya kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan.

"Saya tidak ingin melihat iani berlebih-lebihan. Kita semua sama, tiada siapa yang lebih tinggi kedudukannya daripada orang lain, kita semua rakyat Malaysia," katanya.

Pada awal bulan Jun yang lalu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang lantang dalam meluahkan isi hatinya pernah melontarkan pesanan berikut kepada mereka yang tidak senang hati dengan negerinya menjadi sebahagian daripada Malaysia.

“...Anda boleh beramai-ramai berjumpa dengan YAB Perdana Menteri di Putrajaya untuk mengusulkan satu deklarasi kepada beliau untuk mengeluarkan negeri Johor dari Malaysia," menurut pesanan itu.

Dalam catatan laman Johor Southern Tigers di Facebook itu, Tunku Ismail turut memetik beberapa sebab yang menjurus kepada kelebihan negeri tersebut yang membangkitkan rasa iri hati kepada sesetengah pihak, antaranya, tiada unsur perkauman dan kebencian terhadap rasuah.

Setiap ayat dimukan dengan perkataan “Jangan salahkan Negeri Johor”.

“...Jangan salahkan Negeri Johor dan mengapa kami bangga menjadi bangsa Johor kerana negeri kami telah dibina bukan atas dasar perkauman ia dibina kerana kami bersatu sebagai bangsa Johor sejak dahulu.

“...Mengapa kami bangga dengan pemimpin kami yang senantiasa bersama kami pada saat susah dan senang... suka dan duka.

“Jikalau kami tidak suka kepada orang yang korup... kerana kami tidak pernah dididik untuk menjadi sekeji itu,” kata Tunku Ismail lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen