malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya akan pohon keampunan Agong, hanya jika dipinta - Nawawi
Diterbitkan:  Aug 20, 2016 1:50 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad hanya akan memohon keampunan atas perintah Agong dan hanya kepada Sultan Kedah itu, memetik laporan Sinar Harian.

Nawawi merujuk kepada tanggapan umum bahawa beliau 'menamakan' Yang diPertuan Agong sebagai 'Malaysian Official 1' (MO1) dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Nawawi berharap beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Kalau nak mohon maaf, saya mestilah bersalah. Tapi dalam kes ini saya tidak bersalah, saya nak mohon maaf buat apa.

"Tapi kalau kepada Tuanku, saya salah atau tidak tapi kalau dipanggil, saya menghadap dan memohon maaf. Kerana Tuanku saya letakkan nombor satu.

"Tapi saya harap perkara itu tidak berlaku," ujar beliau lagi.

Nawawi berkata demikian sebagai mengulas desakan pembangkang agar beliau memohon maaf atas dakwaan kenyataan beliau itu yang mengaitkan Agong dengan salam DOJ ke atas 1MDB.

Menurut laporan itu lagi, apabila ditanya sama ada beliau menerima sebarang surat daripada Pejabat Sultan Kedah untuk diberikan penjelasan mengenai perkara itu, Nawawi mengesahkan belum menerimanya.

"Tak ada... saya ingat pihak Istana pun tidak salah faham tentang kenyataan saya. Sekiranya ada, saya sanggup untuk memohon ampun daripada Tuanku kerana saya tidak berniat untuk memaksudkan Tuanku dalam sistem DOJ ini.

"Saya hanya memperincikan Perlembagaan itu wujud sejak 1957," tambahnya.

Pada Rabu yang lalu, misteri mengenai siapa individu yang dirujuk sebagai MO1yang dinamakan dalam saman DOJ Amerika berkaitan dana 1MDB menjadi semakin kalut dengan kenyataan Nawawi.

Dalam tulisan di Facebook, yang disunting empat jam kemudian, Nawawi berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

"Menurut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari tiga entiti utama yang berasingan dan independen (bebas) - badan kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim Negara, badan perundangan parlimen oleh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin (Mulia) dan badan ekskutif (yang) diketuai oleh perdana menteri.

"Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab kepada Agong.

"Maka, mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong," kata Nawawi lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen