Sebelas cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi transformasi industri teksi tidak akan menyelesaikan masalah yang melanda industri itu sejak puluhan tahun.
Penasihat Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, selain ia membunuh industri teksi, Program Transformasi Industri Teksi (TITP) juga dilihat hanya untuk menjadikan industri teksi sedia ada seperti perkhidmatan Uber dan Grabcar.
Menurut Shamsubahrin, antara inisiatif yang beliau tidak setuju ialah pemberian geran sebanyak RM5,000 kepada pemandu supaya dapat membeli kenderaan baru apabila dapat permit persendirian.
Katanya, inisiatif itu dilihat tidak berkesan kerana berdasarkan pencapaian lampau, pemberian insentif itu tidak menguntungkan kerajaan.
"Isu geran RM5,000 ini saya tidak bersetuju sama sekali. Memang ada pemandu yang bersetuju sebab dapat duit.
"Tapi ini bukan isu dapat duit, Perdana Menteri harus buka fail lama dan tengok pencapaian sebelum ini berkenaan subsidi atau geran yang diberikan.
"Selama ini kerajaan salurkan wang dengan beri pinjaman tetapi 70 peratus yang dapat pinjaman gagal bayar balik dan ini merugikan kerajaan. Kita harus ingat bila kerajaan bagi duit untuk subsidi atau geran, itu duit rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Selain itu, mengulas mengenai sama ada pihaknya akan mengadakan protes sekiranya 11 inisiatif itu dilaksanakan, Shamsubahrin yang juga merupakan pengusaha teksi berkata, tindakan tersebut tidak menyelesaikan masalah.
Sebaliknya, beliau meminta supaya pihak kerajaan memikirkan tentang nasib pemandu teksi sekiranya TITP itu dilaksanakan.
"Mogok bukan jalan penyelesaian tapi kalau kerajaan tak nak bersihkan industri teksi dan beri laluan pada (transformasi) Uber, kalau ia diteruskan banyak pemandu teksi akan gantung kunci.
"Bukan sahaja (pemandu teksi) hilang pekerjaan, kerja tak ada, tak ada pendapatan.
"Sekarang industri teksi ada masalah, selesaikan masalah yang ada dulu baru laksanakan benda baru. Masalah industri teksi ini berlanjutan sudah 30 hingga 40 tahun," katanya lagi.
Semalam SPAD mengadakan taklimat kepada pemandu teksi berhubung TITP.
Walaupun telah diberi taklimat, namun persatuan dan pemandu teksi masih tidak berpuas hati dengan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.
Menurut SPAD semalam, Kabinet telah meluluskan TITP yang bertujuan mewujudkan persekitaran industri yang adil bagi pemandu, pengendali dan pengguna teksi.
Antara inisiatif yang dikemukakan ialah perlu ada Petunjuk Pencapaian Utama (KPI) terhadap pengendali teksi, menyelaraskan struktur tambang bermeter dan membuka pilihan model kenderaan bagi teksi yang lebih luas bagi pemegang lesen teksi.