Penerbangan pesawat Malindo Air ke Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) terpaksa ditangguhkan hampir dua jam sebentar tadi selepas sepasang suami isteri menyebut perkataan 'bom' dalam perbualan mereka.
Dalam kejadian berlaku pada pukul 10.45 pagi itu, seorang kakitangan Malindo Air yang bertugas di kaunter terminal LTAM terdengar perbualan suami isteri berkenaan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ekoran tindakan itu, pesawat Malindo Air yang dijadualkan berlepas dari LTAM ke Pekanbaru pada pukul 12.15 tengah hari terpaksa ditangguhkan selama dua jam bagi tujuan pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, pasukan forensik dan Unit Pemusnah Bom dihantar ke tempat kejadian.
Pasukan berkenaan yang membuat pemeriksaan pada beg penumpang tidak menemukan sebarang objek mencurigakan atau berbahaya, katanya.
“Soal siasat ke atas saksi mendapati kejadian itu berpunca ekoran salah faham dan tidak melibatkan ancaman bom." kata beliau, memetik laporan Utusan Online.
" Kejadian ini berlaku disebabkan masalah komunikasi antara penumpang dan pekerja di lapangan terbang berkenaan," he added.
Selepas disahkan selamat, pesawat Malindo Air yang membawa 38 penumpang itu kemudian dibenarkan berlepas pada pukul 2.10 petang, jelasnya.
Pasangan berkenaan yang ditahan sebelum itu untuk membantu siasatan dibenarkan berlepas menggunakan pesawat berasingan menuju ke ke lokasi sama.

