Persatuan pengguna menyambut baik rancangan kerajaan menghalalkan teksi berasaskan aplikasi maya, termasuk Uber dan Grab Car, walaupun ditentang hebat pemandu dan pemilik teksi.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia Pulau Pinang (PPPM) K Koris Atan berkata langkah itu akan melipatgandakan pemandu teksi daripada 77,000 kepada 150,000 orang.
Ia sekali gus, tambah Koris, akan mewujudkan era baru “persaingan hebat”.
“Rakyat Malaysia gembira dengan perkembangan ini; pihak yang ambil Uber dan Grab Car tidak pernah mengadu kerana pemandu-pemandu ini profesional, terpelajar dan orang baik.
“Pemandu teksi mesti belajar daripada mereka,” katanya kepada Malaysiakini.
Minggu lalu dilaporkan keperluan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) untuk mengawal konsep teksi elektronik menjelang akhir tahun ini bakal membuka jalan kepada pengesahan perkhidmatan Uber dan Grab di sisi undang-undang, seperti diputuskan kabinet.
Media melaporkan, kabinet percaya langkah itu penting untuk manfaat rakyat dan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan pada sidang parlimen November ini.
Spad dalam Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan baru-baru ini antara lain menjelaskan keperluan membenarkan Uber dan GrabCar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.
Sebuah syarikat teksi premium antara yang tidak puas hati dengan langkah itu dan menghamburkan kemarahan kepada Spad yang didakwanya “sangat malas, bodoh dan tidak ada otak”.
Big Blue sebaliknya membangkitkan masalah penguatkuasaan terhadap teksi haram yang menjadi punca masalah industri teksi negara.
Khidmat terburuk di dunia
Ketika dihubungi, Koris mendesak pemandu teksi mengubah sikap daripada bergaduh dengan pemandu Uber dan Grab Car.
Ini, katanya, termasuk tidak menipu pengguna dan mengenakan bayaran munasabah.
Beliau mengingatkan bahawa perkhidmatan teksi di Malaysia antara yang terburuk di dunia.
Koris yang pernah melawat 65 negara di seluruh dunia berkata tidak pernah sekali pun ditipu pemandu teksi di tempat-tempat itu, kecuali Uruguay.
Bagaimanapun, katanya, 35 tahun menggunakan perkhidmatan teksi di Malaysia, beliau telah ditipu banyak kali.
“Tolong bersihkan sistem teksi; mereka tidak boleh letak undang-undang bawah tangan sendiri,” katanya.