malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir mahu kawal setiap penggantinya - Rahman Dahlan
Diterbitkan:  Aug 15, 2016 8:51 AM
Dikemaskini: 12:57 AM
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi orang yang berkuasa dalam negara ini tanpa kedudukan sebagai perdana menteri.

Katanya, Dr Mahatir bukan lagi perdana menteri dan tiada kedudukan untuk memastikan setiap dasar kerajaan mengikut citarasanya.

Sehubungan itu, katanya, bekas perdana menteri itu perlu tunduk kepada perubahan semasa.

"Saya berpandangan Tun Mahathir dari dulu memang seorang pemimpin mempunyai pandangan atau pendirian yang mana beliau mahu semua orang mengikut telunjuk beliau.

"Beliau (hingga sekarang) memaksa kami (Kabinet) buat keputusan (ikut telunjuknya), ...kami yang terpaksa berdepan rakyat setiap lima tahun untuk pilihan raya bagi mendapatkan mandat semula," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Bercakap dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri Umno Sandakan, semalam, katanya zaman sekarang berbeza dengan apa yang berlaku sekitar 1980-an hingga 1990-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Justeru, katanya, perubahan itu perlu difahami Mahathir dan beliau tidak perlu mengawal penggantinya untuk mengikut telunjuknya kerana zaman beliau sebagai perdana menteri sudah berlalu.

Main buyuk

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Rahman sebagai berkata Umno tidak mudah tergugat dengan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dipengerusikan oleh Dr Mahathir itu.

Katanya, parti yang bakal diterajui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden itu adalah cubaan untuk menggugat kestabilan politik negara.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan
itu jelas menunjukkan parti pembangkang itu cuba main ‘buyuk’ (tipu dalam bahasa
tempatan Sabah) untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Apabila tidak dapat jatuhkan presiden, mereka main ‘buyuk’ dengan melemparkan pelbagi fitnah, tohmahan dan tuduhan. Tidak cukup itu, mereka cari pihak luar untuk mengganggu-gugat kestabilan politik negara kita,” katanya.

Belaiu juga kesal kerana setelah 25 tahun menyemai benih perjuangan Umno di Sabah, ada pihak yang cuba menggugatnya dengan mengajak anggota parti berhijrah kepada parti pembangkang itu.

 

Lihat Komen