malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
KDNK separuh kedua 2016 dijangka melonjak
ADS

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh kedua tahun ini dijangka terus meningkat, didorong oleh pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur ketika ini, pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR), baru-baru ini.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan 25 mata asas OPR kepada 3.00 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan dapat memacu pertumbuhan, khususnya permintaan domestik.

"Selain itu, penyusutan ringgit juga dapat memulihkan daya saing eskport Malaysia, khususnya dalam sektor bukan komoditi yang boleh menampung kekurangan daripada eksport berkaitan komoditi.

"Biarpun masih ada ruang bagi pengurangan OPR seterusnya, kami sebaliknya berpandangan bahawa Bank Negara mahu mengekalkan OPR sedia ada sebagai persiapan untuk masa akan datang," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman BNM mengenai prestasi suku kedua KDNK 2016 bagi ekonomi Malaysia, pagi tadi.

ADS

BNM mengumumkan ekonomi negara berkembang 4.0 peratus pada suku kedua 2016 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama, dipacu oleh permintaan domestik, penggunaan swasta dan pelaburan.

Ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2016 yang menyumbang pertumbuhan 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Angka itu sejajar dengan kadar pertumbuhan ekonomi global yang menyederhana.

ADS

BNM berkata permintaan domestik ternyata kukuh bagi suku dalam kajian berkenaan, namum pertumbuhan dijejaskan oleh penurunan berterusan eksport bersih serta penyusutan saham yang ketara.

Afzanizam berkata pertumbuhan suku kedua KDNK 2016 itu juga sememangnya dijangkakan (Bank Islam : 4.0 peratus, konsensus : 4.0 peratus).

"Perbelanjaan swasta didapati meningkat sebanyak 6.3 peratus pada suku dalam kajian itu daripada 5.3 peratus, sebelum ini.

"Bagaimanapun, prestasi itu jauh lebih rendah daripada pertumbuhan purata sebanyak 7.0 peratus sejak suku pertama 2010. Ini menunjukkan perbelanjaan isi rumah masih rendah berbanding tahap sebelum ini serta memaparkan bahawa pengguna terus mengamalkan sikap berhati-hati ketika berbelanja," katanya.

Biarpun dalam persekitaran itu, Afzanizam berkata perbelanjaan pelaburan sektor swasta atau awam sememangnya dijangkakan sejajar peningkatan Pembentukan Modal Tetap Kasar sebanyak 6.1 peratus selepas pertumbuhannya mendatar pada suku sebelum ini.

"Pertumbuhan bersih eksport terus negatif iaitu 7.0 peratus pada suku kedua 2016 biarpun mencatat pemulihan daripada -12.4 peratus pada suku sebelumnya.

"Ini memaparkan adanya sokongan daripada permintaan luaran sebagaimana ditunjukkan oleh peningkatan dalam eksport sebenar kepada 1.0 peratus selepas susut 0.5 peratus pada suku sebelum ini," katanya.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Bernama turut melaporkan, Malaysia dijangka mencapai sasaran KDNK antara empat dan 4.5 peratus pada 2016 walaupun pertumbuhan lebih rendah dalam ekonomi serantau, kata pakar ekonomi.

ADS

Ketua Pakar Ekonomi dan Pakar Strategi Pelaburan IQI Group Holdings, Shan Saeed berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus positif walaupun ketidaktentuan serantau serta kuasa pasaran semasa.

"Adalah penting untuk kerajaan mengekalkan keyakinan di kalangan pelabur ketika pelbagai cabaran ekonomi serta pertumbuhan lembap di peringkat global," katanya kepada Bernama.

Shan berkata, adalah penting untuk negara mengekalkan keyakinan ekonomi dalam usaha memenuhi penggunaan domestik kerana ia akan membantu merangsang pertumbuhan.

"Ekonomi Malaysia masih berkembang dan terdapat banyak peluang untuk dimanfaatkan dengan meningkatkan kedudukan dan memberi tumpuan kepada perdagangan di dalam rantau ASEAN," tambahnya.

Shan berkata, prestasi ekonomi Malaysia pada suku kedua dianggap sangat baik berbanding Singapura dan UK.

Ekonomi Singapura dilaporkan tumbuh 2.1 peratus manakala ekonomi UK pula 0.6 peratus pada suku kedua tahun ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen