malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Idris: Kenyataan saya disalah erti
Diterbitkan:  Aug 12, 2016 6:18 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata kenyataannya berhubung motif saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) terhadap 1MDB disalah erti.

Sebenarnya, beliau berkata, ia bertujuan untuk menaikkan semangat patriotisme di kalangan rakyat negara ini, lapor BH.

"Kenyataan saya yang dipetik oleh sebuah portal berita pembangkang ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang pada Isnin lalu, tidak dilihat dengan jelas oleh sesetengah pihak.

"Mereka perlu jelas maksud saya (hancur orang Melayu) itu yang bertujuan mahu mengangkat semangat patriotisme di kalangan setiap ahli Umno bahawa kita boleh mentadbir urus negara kita sendiri tanpa membabitkan pihak lain," beliau dipetik sebagai berkata.

BH melaporkan beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan terhadapnya mengenai kenyataan itu selepas merasmikan sebuah surau di Alor Gajah, semalam.

BH sebelum ini melaporkan, Idris dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat itu berkata, AS menipu dan membunuh rakyat Iraq dan kini mahu pula menghancurkan orang Melayu Malaysia.

Versi ini sedikit berbeza dengan laporan Malaysiakini yang melaporkan Idris sebagai menyebut AS hendak “bunuh” orang Melayu di negara ini.

“Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak jumpa di Iraq.

"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu di Malaysia,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang pada Ahad lalu.

DOJ bulan lalu mendakwa kira-kira AS$3.5 bilion telah disalah guna daripada dana 1MDB. Saman sivil itu difailkan bagi merampas AS$ 1.5 bilion dalam bentuk aset, yang didakwa hasil pengubahan wang haram melalui sistem kewangan AS.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali bagaimanapun berkata tidak ada bukti penyelewengan daripada siasatan yang dilakukan dan siasatan polis masih berjalan.

Lihat Komen