malaysiakini logo
story-image
ADS

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas dakwaan bahawa sitaan aset berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) sebahagian usaha 'membunuh' orang Melayu.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata, beliau tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika membuat dakwaan itu.

“Itu kena tanya dia kerana dia yang buat kenyataan itu. Saya tak boleh komen kenyataan yang dia buat.

“Saya tak tahu apa ada dalam kepala dia (dan) kenapa,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman Risda-Celcom Axiata di Restoran Terapung Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Idris pada 7 Ogos lalu berkata saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), AS – yang menyaksikan sitaan terbesar dalam sejarah negara itu – adalah sebahagian helah politik untuk menjatuhkan perdana menteri dan orang Melayu.

Idris mengaitkannya dengan pencerobohan AS ke atas Iraq pada tahun 2003 atas dakwaan negara teluk pimpinan diktator Saddam Hussein itu memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

“Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak jumpa di Iraq.

"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu di Malaysia,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang pada Ahad lalu.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang anak tirinya Riza Aziz dinamakan secara langsung, berkata tindakan DOJ itu saman sivil dan bukan jenayah.

Sementara itu, Ismail juga enggan mengulas mengenai tindakan Petronas yang menamatkan perkhidmatan rakyat Sarawak daripada operasinya di negeri itu walaupun jumlah rakyat tempatan sudah cukup rendah.

“Mengenai Petronas itu kena tanya Petronas, kalau saya salah jawab nanti susah,” katanya.

Petronas kini tidak lagi boleh mengambil warga negara Malaysia dari luar Sarawak untuk mengisi pekerjaan di negeri itu selepas kerajaan negeri menghentikan pengeluaran permit kerja baru.

Syarikat minyak negara itu bagaimanapun berkata penggantungan permit kerja itu berlaku susulan salah faham dalam proses penstrukturan semula perniagaan merentasi kumpulan, yang dianggap memberi kesan tidak adil kepada kakitangannya dari Sarawak.

Firma tersebut menjelaskan, pihaknya menjangkakan majoriti pengambilan kakitangan baru di negeri tersebut masih dikuasai oleh rakyat Sarawak.

Lihat Komen