malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Selepas spekulasi usul undi tak percaya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Isnin lalu, bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kini mengambil pendekatan 'berahsia' berhubung tindakan lanjutnya.

Ketika ditanya apakah perancangannya selepas ini, Ahmad Said menyerahkan perkara itu kepada Allah.

"Saya tak tahu (apa akan terjadi selepas ini). Saya tak tahu, saya bukan pakar strategi. Saya seorang saja. Tapi kena ingat, walaupun seorang ia boleh berikan kesan, apa-apa pun boleh terjadi walaupun saya seorang.

"Bila rahsia, beritahu lebih daripada seorang, bukan rahsia lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Selain itu, ditanya tentang masa depan politiknya sama ada akan terus bertanding dalam pilihan raya, Ahmad Said hanya tersenyum dan berkata beliau tidak diberikan kelebihan oleh Allah untuk meramal masa depan.

"Saya tak tahu. Mana boleh kita baca masa depan kita. Mana tahu mati esok. Saya tak tahu. Tak boleh tengok. Saya tak diberi kasyaf oleh Allah untuk lihat masa depan," katanya.

Dalam temubual selama hampir dua jam, Ahmad Said agak beremosi apabila menceritakan kembali kisah bagaimana beliau 'diminta' melepaskan jawatan sebagai menteri besar serta usul undi tak percaya yang dibawa pada sidang DUN Mac lalu.

Malah, ADUN Kijal itu turut memberitahu, selepas meletakkan jawatan menteri besar, hubungannya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum baik ekoran beberapa 'isu' yang terjadi sebelum ini.

Lima sebab 'disingkir'

Beliau turut mendedahkan terdapat lima perkara yang didakwa menjadi isu utama antara beliau dan Najib sehingga 'disingkirkan'.

Lima perkara yang didakwa Ahmad Said ialah isu berkaitan penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang menggunakan duit kerajaan negeri, gesaan supaya kerajaan Pusat membayar semula wang dana khas royalti minyak sebanyak RM8 bilion, isu berkaitan penubuhan jawatankuasa khas Petroleum, serta isu
penemuan telaga minyak Bertam 307 yang didakwa dimiliki Pahang.

"Isu ini ketika saya menjadi menteri besar. Saya tak sehaluan dengan Najib.

"Kalau saya pentingkan diri, saya selama dua tahun selepas lepaskan jawatan macam-macam perkara yang saya boleh lakukan," kata Ahmad Said sambil menegaskan bahawa beliau sayangkan Umno kerana telah menjadi ahli parti itu sejak berumur 18 tahun.

Selain itu, Ahmad Said turut memberitahu beliau mendakwa telah mendapatkan nasihat seorang pakar perlembagaan- seorang bekas peguam negara - sebelum usul undi tak percaya dibuat pada Mac lalu.

Katanya, isu usul undi tak percaya yang ditolak di DUN Terengganu didakwa sebagai tindakan yang memalukan kerana tidak menghormati Undang-undang Tubuh kerajaan negeri Terengganu.

"Saya nak tanya, mana (undang-undang yang) lebih tinggi? Peraturan Persidangan Dewan Undangan Negeri atau Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu?

"Paling tinggi ialah Undang-undang Tubuh dan kalau Malaysia, Perlembagaan. Saya rujuk pada pakar undang-undang. Saya tak mahu sebut nama tapi dia seorang bekas peguam negara yang terkenal.

"Penolakan (usul undi tak percaya) adalah sesuatu yang memalukan dan ia akan tercatat dalam sejarah kerana mereka lakukan perkara yang tak betul," katanya.

Ditanya mengapa tiada usul undi tak percaya dibuat pada Isnin lalu, beliau hanya tersenyum dan berkata:

"Kita... adalah..." katanya sambil ketawa.

'Gali kubur sendiri'

Selain itu, menceritakan tentang terdapat usul yang dibawa Umno Terengganu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya memecatnya daripada menjadi ahli parti itu, Ahmad Said, 59, berkata sekiranya tindakan itu dibuat, ia umpama menggali kubur Umno sendiri.

"Bawa usul ke MT, usul nak pecat saya. Saya nak tanya, itu cerdik ke bodoh? MT tak berani pecat saya sebab (kerusi akan jadi) 16-16. Apa implikasinya? Kalau cerdik fikir pasal politik, takkan (Umno) nak gali kubur sendiri.

"Bila 16-16, dia (Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman) kena menghadap tuanku bahawa ia kerajaan yang tergantung, dan tak boleh buat keputusan. Dia kena menghadap tuanku untuk minta supaya (DUN) bubar," jelasnya.

Kemelut berlaku apabila Ahmad Said digantikan secara kontroversi oleh Ahmad Razif pada 2013.

Ahmad pernah membawa usul undi tidak percaya sebelum ini.

Beliau turut dilaporkan sebelum ini akan meninggalkan parti dan bekerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun, Ahmad Said menafikan laporan tersebut, BN Terengganu hanya mempunyai 17 kerusi DUN dan pembangkang 15 kerusi.

Jika Ahmad Said berjaya menarik hanya seorang lagi wakil BN dalam DUN, BN boleh hilang kerajaan di negeri pantai timur itu.

Lihat Komen