malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mustafar beri komitmen walau status 'peminjaman sementara'
Diterbitkan:  Aug 1, 2016 9:08 PM
Dikemaskini: 1:10 PM
ADS

Status pertukaran Datuk Seri Mustafar Ali ke Jabatan Imigresen sebagai Ketua Pengarah ialah 'peminjaman sementara' tetapi itu bukan penghalang baginya untuk memberikan komitmen menerajui jabatan itu.

Mustafar, yang memulakan tugas secara rasmi di JIM hari ini, berkata jawatan itu merupakan satu penghijrahan yang penuh dengan amanah dan komitmen untuk dipikul demi meneruskan kesinambungan transformasi JIM.

"Itulah kenyataan sebenarnya, dalam surat (perpindahan) itu bertulis peminjaman sementara. Tetapi saya akan memberikan komitmen sepenuhnya serta telah berbincang untuk membuat tindakan susulan bagi memastikan JIM terus kekal cemerlang," katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Jumaat lepas mengumumkan Mustafar, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ditempatkan sebagai Ketua Pengarah Imigresen mulai 1 Ogos bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mustafar yang ditemui pemberita selepas hadir majlis Hari Raya Aidilfitri JIM di Putrajaya hari ini berkata antara tugasan pertamanya adalah untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan pelanggan ke tahap lebih cemerlang bagi memenuhi tuntutan dan harapan rakyat.

Beliau berkata penyampaian perkhidmatan pelanggan tidak seharusnya berada pada tahap statik sebaliknya sentiasa memastikan kecemerlangan berasaskan prinsip 'semua urusan bukan seperti biasa'.

Menurut Mustafar, input dan cadangan daripada masyarakat merupakan antara kekuatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan pelanggan ditambah baik sekiranya terdapat kekangan dan permasalahan dalam sistem itu.

"Saya juga melihat sumber manusia sebagai aset kepada jabatan kerana mereka adalah pelaksana sistem dan prosedur. Kita mahu menegakkan aset yang kita ada untuk tahap yang lebih tinggi melalui peningkatan dan integriti," katanya.

Mustafar berkata beliau telah berjumpa dengan pengurusan tertinggi JIM semalam dan dengan kesatuan JIM pagi ini untuk meneliti dan mengkaji tindakan-tindakan proaktif yang bakal dilaksanakan.

Katanya beliau akan terus membuat penyelarasan dan meneruskan perancangan serta pelan transformasi Imigresen berasaskan konsep 5K iaitu Kefahaman, Kesedaran, Keinsafan, Keikhlasan dan Keberhasilan.

- Bernama

Lihat Komen