malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Rundingan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) masih berjalan dan akan tamat pada Oktober depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Untuk makluman ketika ini rundingan bagi pengambilalihan Splash oleh air Selangor masih berjalan dan ia bertepatan dengan tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian utama.

“Perjanjian utama menggariskan air Selangor diberi tempoh setahun dari tarikh perjanjian utama dimuktamadkan iaitu Oktober 2016 untuk selesaikan pengambilalihan Splash,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Azmin menjawab soalan Anggota DUN (DUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkaitan status terkini rundingan air bersama Splash.

Kata Azmin, beberapa perkara sedang diteliti kedua-dua pihak bagi memastikan terma komersial dalam pengambilalihan tersebut berjaya dan tidak membebankan rakyat.

“Beberapa perkara sedang diteliti kedua-dua pihak untuk memastikan terma-terma komersial dalam pengambilalihan Splash tak bebankan rakyat dan ia akan diteruskan dengan kerajaan persekutuan untuk melihat keupayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk membiayai pengambilalihanya,” kata Azmin.

November lalu Azmin memaklumkan hanya Splash masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan.

Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri telah menawarkan RM250 juta kepada Splash namun jumlah tersebut ditolak syarikat berkenaan.

Kos pengambilalihan tiga syarikat konsesi lain berjumlah RM1.68 bilion, dengan PNHB sebanyak RM1.07 bilion, SYABAS (RM0.52 bilion) dan ABBAS (RM0.09 bilion).

Lihat Komen