malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PM: Akta MKN sengaja disalah tafsir
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 11:32 PM
Dikemaskini: 3:52 PM
ADS

Datuk Seri Najib Razak mendakwa 'penjaja ketakutan' bermotif politik sengaja menyalahtafsirkan undang-undang keselamatan baru diperkenalkan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang akan berkuat kuasa tidak lama lagi.

"Kerajaan dikritik kerana meluluskan undang-undang ini, termasuk oleh sesetengah penjaja ketakutan demi kepentingan politik. Akta Majlis Keselamatan Negara terutamanya sengaja disalah tafsir," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun menurut perdana menteri undang-undang baru itu tidak sama dengan pengisytiharan darurat - seperti didakwa pengkritik - kerana kuasa masih berada di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Tidak seperti ketika darurat diisytiharkan, parlimen masih tetap wujud dan mengawasi sebarang kawasan yang diisytihar berada dalam kawalan keselamatan.

Beliau juga mengulangi penegasan sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan memohon maaf kerana menggubal undang-undang MKN yang dikatakannya bertujuan untuk mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia.

"Undang-undang ini perlu dan negara lain sudah mencontohi kita," katanya sambil memberi jaminan kerajaan akan terus melakukan sebarang langkah yang wajar untuk melindungi rakyat.

Kata Najib serangan pengganas di seluruh dunia menunjukkan ancaman keselamatan memang wujud dan berkembang.

Malaysia, katanya, juga sudah menerima kesan serangan pertama kumpulan IS bulan lalu.

"Inilah sebab - mengikut permohonan daripada pasukan keselamatan - kerajaan memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta MKN.

"Negara Islam (IS) dan kekejamannya, ideologi sesat tidak ada tempat dalam Islam, tidak juga di negara kita yang aman, rencam dan toleran.

"Sekarang adalah masa untuk kita bersatu dan memainkan peranan lebih besar bersama-sama masyarakat dunia memerangi keganasan," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen