malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH setuju, hadirin sokong p’raya di Pulau Pinang
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan persetujuan dengan cadangan mengadakan pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Berucap pada majlis taklimat "Masa Depan Pulau Pinang" malam semalam, Lim berkata hanya PKR yang belum memberi persetujuan berhubung cadangan itu dan mereka dijadual bertemu malam ini untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh tanpa PKR, tak boleh kurang satu pun (dalam Pakatan Harapan) kerana kita adalah gabungan. Dan dalam gabungan, semua parti mesti bersama-sama," kata Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP.

Diminta untuk mengesahkan perkara itu, Presiden AMANAH Mohamed Sabu ketika ditemui kemudian mengakuinya dan berkata partinya akan membuat pengumuman rasmi selepas mesyuarat Pakatan Harapan.

Lim cuba mendapatkan mandat baru dari rakyat Pulau Pinang dengan berkata pengundi perlu membuat keputusan jika mereka masih mahu beliau terus kekal sebagai ketua menteri.

Beliau mendakwa tindakan dua tuduhan rasuah berkaitan dengan pembelian banglonya pada harga RM2.8 juta tang dikatakan di bawah nilai pasaran adalah 'penganiayaan politik' BN.

PKR sebelum ini memohon lebih banyak masa untuk membincangkan perkara itu kerana tidak yakin dengan alasan DAP untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi.

Lim kemudian merayu pucuk pimpinan PKR supaya mencapai konsensus dengan DAP bagi mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang walaupun parti itu bimbang dengan prestasinya.

PKR mempunyai 10 kerusi, dan parti itu bimbang akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi tipis pada tahun 2013, seperti di Penanti, Seberang Jaya dan Sungai Bakap.

PKR juga khuatir bahawa pertelagahan di antara DAP dan PAS akan menjejaskan kerusi yang mempunyai majoriti penduduk Melayu, yang parti itu berharap untuk bertanding.

"Saya tahu mereka bimbang tentang kehilangan kerusi, tetapi begitu juga kita. DAP juga bimbang, tetapi kita mesti mempunyai keyakinan dan kepercayaan dalam rakyat," kata Lim.

"Kita perlu yakin kepada rakyat Malaysia dan rakyat Pulau Pinang. Tidak kira apa bangsa, Cina, India, Melayu, semua mereka benci rasuah.

"Semua mereka benci Jho Low, Riza Aziz dan skandal 1MDB," katanya sambil disambut tepukan gemuruh dari kira-kira 600 hadirin.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen