malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada pilihan raya mengejut P Pinang, setakat ini
Diterbitkan:  Jul 20, 2016 4:19 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini sepakat untuk menangguhkan rancangan mengadakan pilihan raya mengejut di pulau mutiara itu.

Dalam sidang media bersama antara kedua-dua pemimpin selain turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Lim berkata, bagaimanapun, perbincangan mengenainya tetap diteruskan bersama komponen Pakatan Harapan yang lain.

"Tiada keputusan sebelah pihak dalam rancangan mengadakan pilihan raya mengejut ini, sebaliknya semua akan dibuat secara sebulat suara.

"Justeru, lebih banyak masa diperlukan untuk perbincangan," kata Lim semasa sidang media tersebut di bilik gerakan, tingkat 28, Komtar di Pulau Pinang.

Sidang media tersebut turut boleh ditontoni secara langsung di laman Facebook milik Lim.

Sementara itu, Azmin pula berkata, mesyuarat selama satu setengah jam itu adalah unik dan PKR sangat menghargai pendirian DAP untuk tidak mengambil keputusan sebelah pihak.

"PKR juga akan meneruskan perbincangan mengenai hal ini," katanya lagi.

Hari ini, seorang penganalisis politik berkata, PKR berdepan risiko kehilangan sebahagian kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang jika pilihan raya negeri mengejut diadakan.

Jelas profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal Hazis, ini yang akan terjadi jika pembangkang masih berpecah dengan PAS berada di luar gabungan.

"Jika status quo kekal, kita akan lihat pertembungan pelbagai penjuru di kerusi Melayu dan ini bukan merupakan petanda baik bagi PKR dan pembangkang," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen