malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR belum diyakini untuk adakan pilihan raya P Pinang
ADS

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu bahawa pihaknya belum lagi diyakini oleh DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu berkenaan.

"Biro politik PKR berpendirian bahawa kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

"Namun pimpinan PKR bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini," katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi.

Selain itu, tiada seorangpun wakil daripada DAP yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dikatakan akan hadir pada mesyuarat PKR malam ini untuk memberi taklimat mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut.

Bagaimanapun, mesyuarat itu berlangsung tanpa kehadiran Lim.

Gabungan yang diketuai DAP telah berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008 dengan Lim sebagai ketua menterinya.

Ekoran pilihan raya negeri 2013, DAP memiliki 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan PAS 1 kerusi.

BN pula mempunyai 10 kerusi.

Lihat Komen