malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Tian Chua, Ezam dibawa ke mahkamah Kulim esok
Published:  Jun 17, 2001 1:24 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Dua pemimpin Parti Keadilan Nasional yang ditahan dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Perak dibawa ke Kulim, Kedah untuk perbicaraan satu kes berhubung pilihanraya kecil Lunas esok.

Naib Presiden Tian Chua dan Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor dibawa ke balai polis daerah itu sejak semalam, kata satu sumber kepada malaysiakini .

Menurutnya, Bahirah Tajul Aris yang melawat Ezam di kem tahanan itu hari ini diberitahu suaminya telah ditahan di balai polis itu sebelum dibawa ke Mahkamah Magistret Kulim untuk perbicaraan itu yang dijadualkan bermula jam 9 pagi.

Perbicaraan itu turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Mohd Azmin Ali, Ketua Penerangan parti itu Ruslan Kasim dan aktivis Pemuda N Gobalakrishnan.

Lima lagi penyokong parti pembangkang, termasuk PAS, yang turut dihadapkan di mahkamah esok adalah Zamil Ibrahim, Ahmad Khairuddin Jamaluddin, Mohd Khairi Yahya, Mohd Fauzi Awang Kecik dan Khairul Niza Ismail.

Mereka dituduh "merusuh dan mengurung secara haram" beberapa pemandu serta penumpang bas yang disyaki membawa pengundi hantu pada hari membuang undi dalam pilihan raya kecil itu 29 November lalu. Pilihan raya itu dimenangi calon Keadilan Saifuddin Nasution Ismail.

Sepuluh orang itu dituduh di bawah seksyen-sekyen 147 dan 342 Kanun Keseksaan, dibaca bersama seksyen 34 akta yang sama.

Seseorang yang didapati bersalah di bawah seksyen 147 boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya. Sementara kesalahan di bawah seksyen 342 boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengumumkan ahli-ahli keluarga Tian dan Ezam akan mengadakan sidang akhbar di depan mahkamah magistret itu jam 9 pagi esok sebagai membantah kegagalan polis memaklumkan perpindahan dua aktivis itu ke Kedah.

"Anggota keluarga tidak berpuas hati dengan perpindahan ini kerana hari ini adalah hari melawat," kata Suaram.

Selain dua pemimpin kanan Keadilan itu, empat lagi aktivis reformasi ditahan di kem itu, termasuk Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam yang dibawa Khamis lalu. Empat orang sebelum itu dibawa 2 Jun lalu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.