PAS hari ini menyeru “gencatan senjata” sesama pembangkang, sebaliknya menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN.
Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pertelagahan sesama mereka kini dapat ditamatkan demi rakyat dan masa depan negara.
“Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar Umno-BN.
“Jangan pedulikan tulisan murahan tentera siber yang suka melagakan antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat.
“Apa yang penting dilihat ialah masa depan negara.
“Kerana masa depan rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya kestabilan negara,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.
Katanya, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) – perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.
“Banyak persamaan yang perlu diutamakan berbanding hanya beberapa perkara sahaja yang berbeza.
“Dalam mewujudkan toleransi politik yang baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan,” katanya.
PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP setelah perbezaan pendapat dan perbalahan berterusan dalam isu pelaksanaan hudud.
Langkah itu menyebabkan Pakatan Rakyat, yang dianggotai mereka bersama PKR terkubur.
DAP dan PKR kemudian membentuk gabungan dengan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH).
Manakala PAS memilih kerjasama baru dengan parti kecil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan bekas menteri Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.