malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
KLIA2 terminal 'Frankenstein', usik bos AirAsia
Diterbitkan:  Jul 11, 2016 9:15 AM
Dikemaskini: 1:55 AM
ADS

Ketua Kumpulan Air Asia Tony Fernandes menggesa kerajaan membina terminal tambang murah yang lebih elok jika mereka mengaku KLIA2 berstatus itu.

Katanya, lapangan terbang itu seperti 'terminal Frankenstein' yang “tidak premium dan tidak pula tambang murah”.

“Saya tidak pasti hendak menangis atau gelak bila baca artikel daripada MAHB.

“Ya, terminal kita bukan terminal tambang murah walaupun ia sepatutnya sebegitu – yang dibina terminal Frankenstein, tidak premium dan tidak pula tambang murah, masalahnya besar,” kata Fernandes di Facebook beliau semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali (gambar), dalam wawancara dalam The Edge edisi minggu ini.

Fernandes berkata penumpang AirAsia di KLIA2 mewakili 98 peratus.

Syarikat penerbangan lain pula, katanya lagi, juga menawarkan perkhidmatan tambang murah.

“Jika kamu tidak mahu panggil 'tambang murah', binalah yang lebih elok, jadi kita boleh cipta lebih (peluang) kerja,” katanya.

Catatan itu dimuat naik di tengah-tengah perselisihan antara AirAsia dan MAHB.

AirAsia mahu mempromosikan KLIA2 sebagai hab tambang murah untuk rantau Asia dan telah melaburkan RM20 juta untuk kempen pemasarannya.

Sementara MAHB pula tidak setuju dengan idea menjenamakan semula lapangan terbang itu sebagai Terminal Tambang Murah 2 (LCCT2).

Bagaimanapun, selepas pertemuan AirAsia dan MAHB, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata nama KLIA2 akan kekal.

Bagaimanapun beliau juga menyokong cadangan menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab tambang murah.

Dalam wawancara dengan The Edge, Badlisham berkata beliau tidak kisah KLIA2 dipromosikan sebagai lapangan terbang tambah murah.

Beliau tetapi menegaskan ia bukan terminal tambang murah.

“Jika AirAsia mahu jenamakan semula KLIA2 sebegitu supaya bila orang sebut KLIA2, mereka ingat perjalanan tambang murah dan Air Asia, saya tiada masalah.

“Caj aeronautik kita antara termurah di rantau ini.

“Caj perkhidmatan penumpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) lebih murah daripada lapangan terbang besar lain di Asia.

“Jadi, saya juga patut panggil KLIA (lapangan terbang) perjalanan murah dan KLIA2 pula, perjalanan paling murah?

“Tetapi satu perkara yang pasti – ia bukan terminal tambang murah,” Badlisham dipetik sebagai berkata.

[Baca berita asal]

Lihat Komen