malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja High 5 yang diberhenti, tuntut pampasan menjelang hari raya
ADS

Sejumlah pekerja kilang roti High 5 menuntut pampasan yang mereka berhak terima, selepas diberhentikan secara tiba-tiba hanya beberapa minggu menjelang sambutan Hari Raya.

Kira-kira 30 pekerja dari High 5 Consolidated Berhad berkumpul di luar ibu pejabatnya di Shah Alam pagi ini untuk membantah apa yang mereka dakwa pemberhentian kerja secara tidak adil.

Wakil pekerja Mohd Rosnizam Abu Said mendakwa 60 pekerja telah menerima surat dari syarikat itu pada 22 Jun, memaklumkan kepada mereka bahawa syarikat itu akan menghentikan operasi pada 23 Jun.

Surat tanpa tarikh itu, bagaimanapun, menyatakan ia memberi mereka sebulan notis.

Ini, dakwa Rosnizam, adalah satu pembohongan.

"Kami mahu tahu apa yang akan berlaku kepada kami. Bagaimana dengan pampasan kami, hak kami sebagai pekerja?" kata Rosnizam kepada pemberita semasa mengadakan bantahan tersebut.

Pemberhentian mereka dibuat tanpa dimaklumkan terlebih dahulu, katanya.

Menurut satu laporan polis yang dibuat oleh salah seorang pekerja, mereka diberikan cek gaji setengah bulan dan juga diberitahu mereka tidak perlu melaporkan diri untuk bekerja mulai 24 Jun dan seterusnya.

Rosnizam berkata, pekerja Melayu akan menyambut Hari Raya dengan hanya setengah bulan gaji.

"Ini benar-benar mengecewakan," keluh Rosnizam.

'Caruman KWSP tak dibayar'

Mereka juga tidak menerima komisen mereka sejak dua bulan lalu, dakwa Rosnizam.

Beliau berkata walaupun caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditolak daripada gaji mereka, tetapi akaun KWSP mereka merekodkan bayaran tertunggak sejak lapan bulan lalu.

Beliau kesal tunggakan caruman KWSP mereka telah menyebabkan pekerja menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank, kerana bank enggan memberikan sebarang pinjaman kerana rekod pembayaran caruman KWSP.

Beliau juga mendakwa ini berlaku kepada pekerja High 5 di semua 12 cawangan syarikat itu seluruh negara.

Terdapat kira-kira seribu pekerja High 5 di seluruh negara, katanya.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata beliau telah menerima aduan yang sama dari pekerja High 5 antaranya di Ipoh dan Seremban.

Sivarajan berkata mereka telah membuat laporan polis dan bercadang untuk membuat laporan kepada Jabatan Buruh pada hari Isnin.

Beliau menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan segera bagi pihak pekerja-pekerja berkenaan, sebelum mereka benar-benar dibiarkan oleh syarikat.

 [Baca berita penuh]

Lihat Komen