malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP kafir harbi, lapor Utusan
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 11:33 AM
Dikemaskini: 4:03 AM
ADS

DAP, yang disifatkan jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan mahu me­nubuhkan negara sekular, tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang umat Islam, lapor Utusan Online.

Menghukum mana-mana pihak atau individu sebagai kafir harbi dikatakan adalah hukuman yang berat kerana kafir harbi ini sampai ke tahap boleh dibunuh.

Memetik Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman (gambar, bawah, kiri), akhbar Umno itu melaporkan, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Beliau juga dilaporkan berkata, “politik kebencian” yang diamalkan oleh DAP jika berterusan dibimbangi boleh menggugat keselamatan negara.

“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.

“Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka.

“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam.

"Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” beliau dilaporkan sebagai berkata ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, akhbar sama me­laporkan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din sebagai berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Moha­mad menggadaikan prinsip apabila “bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam”.

“PAS dahulu buat kesilapan dengan bersekongkol dengan DAP sebelum mereka menyedari bahawa parti berkenaan memusuhi Islam.

“Saya harap Dr Mahathir perbanyakkan istighfar dan hentikan jalin kerjasama dengan DAP,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen